Tabung #Bantuan Bencana Sinar Karangkraf salur RM50,000
SHAH ALAM - Sinar Karangkraf mula menyalurkan kutipan Tabung #Bantuan Bencana Sinar Karangkraf x Syria Care untuk mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye dengan fasa pertama sebanyak RM50,000 pada Jumaat.
Ketua jabatan pemasarannya, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, bantuan itu akan digunakan oleh pasukan misi kemanusiaan di kedua-dua negara tersebut bagi pembelian barangan keperluan asas seperti bahan pemanas, makanan dan khemah dan ubat-ubatan.
“Antara lokasi pengagihan bantuan di Syria adalah di Al Bab, Al Zouf, Aqrabat, Azmarin, Jinderis dan Hatia dan kawasan-kawasan di Turkiye.
“Kita seimbangkan bantuan ini di kedua-dua negara berkenaan tetapi kita beri lebih fokus kepada Syria kerana ramai yang tak tahu keadaan di sana agak teruk dan sudah banyak bantuan lain telah tertumpu kepada Turkiye,” katanya kepada Sinar Harian.
Nik Justin menambah, pihaknya juga menyasarkan perancangan jangka masa panjang membantu mangsa gempa bumi berkenaan dengan inisiatif baik pulih kediaman dan mewujudkan penempatan tetap kepada mereka.
“Semenjak hari pertama inisiatif ini dijalankan, memang itulah tumpuan kami, cuma sekarang ini kita tumpu untuk salurkan bantuan melibatkan keperluan segera terlebih dahulu.
“Menerusi kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan sekolah-sekolah yang tampil memberikan sumbangan ini,” ujarnya.
Setakat Jumaat ini, Tabung #Bantuan Bencana Sinar Karangkraf x Syria Care telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM133,770.74.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #Bantuan Bencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini:
https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!