Pelajar UKM - GSB bantu Penjara Wanita Kajang
SHAH ALAM - Meskipun fokus utama mereka terhadap kecemerlangan pendidikan, namun ia tidak menghalang sekumpulan pelajar Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM - GSB) untuk turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
Inisiatif itu dibuktikan melalui penyerahan sumbangan berjumlah RM52,286.22 kepada Penjara Wanita Kajang menerusi projek ‘Creating Income Oppurtunities’ (C.I.N.T.A) UKM - GSB.
Kutipan itu diperoleh menerusi sembilan syarikat yang tampil memberi kerjasama dalam projek berkenaan.
Pengarah Projek CINTA UKM-GSB, Dhiya Syazana Safra berkata, antara objektif utama program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Penjara Malaysia itu adalah untuk membantu penjara berkenaan menambah baik fasiliti serta peralatan program kemahiran untuk banduan dalam penjara tersebut.
“Diharap dengan penggantian dan penambahan peralatan baharu hasil sumbangan projek ini, jumlah pengeluaran produk dijangka dapat ditingkatkan sekali gus menjana peningkatan hasil jualan.
“Program CSR ini merupakan kolaborasi pertama dan julung kalinya diadakan antara Penjara Wanita Kajang bersama kumpulan pelajar universiti ini melibatkan pemberian sumbangan berupa peralatan dan kelengkapan lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, keputusan untuk memberi fokus penambahbaikan dan penggantian peralatan program kemahiran pembuatan kek, biskut dan produk makanan sejuk beku diambil selepas beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak diadakan bersama pihak penjara tersebut.
Jelasnya, kolaborasi bersama Jabatan Penjara Malaysia ini juga dilihat sebagai peluang ke arah kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik) UKM-GSB, Dr Mara Ridhuan Che Abdul Rahman menjelaskan, kejayaan pelaksanaan projek CSR ini menjadi salah satu elemen indikator tahap kompetensi pelajar dalam bidang pengurusan mencakupi segala aspek antaranya daya kepimpinan, pengurusan masa, pengurusan sumber, pengurusan kewangan, pengurusan projek dan lain-lain.
Dalam masa yang sama katanya, para pelajar juga dapat membina jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak selain memberi pendedahan melalui pembelajaran tidak formal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!