57 calon sah daftar Pemilihan UMNO

Shahrir
Shahrir
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 57 calon sudah membuat pendaftaran pencalonan untuk bertanding di peringkat pusat bagi Pemilihan UMNO 2023-2026 setakat 15 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memaklumkan, calon yang telah berdaftar bertanding untuk 12 daripada 19 jawatan yang terdapat dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

"Seramai 18 calon telah mendaftar untuk bertanding bagi empat jawatan dalam MKT iaitu pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap dan 25 jawatan lain.

“Bagi Pergerakan Wanita, 14 calon sudah berdaftar, manakala Pemuda 19 calon dan Puteri, enam calon menjadikan kesemuanya berjumlah 39 calon yang sudah berdaftar bagi peringkat sayap,” katanya menerusi satu rakaman video pada Khamis.

Ujar Shahrir, di peringkat Wanita, terdapat satu calon untuk jawatan timbalan pengerusi tetap, satu calon untuk naib ketua dan 12 calon untuk mengisi 20 jawatan exco Pergerakan Wanita.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda pula melibatkan satu calon untuk pengerusi tetap, satu calon untuk ketua dan 17 calon bagi mengisi 20 jawatan di peringkat exco Pemuda.

“Seterusnya, bagi sayap Puteri, satu calon untuk timbalan pengerusi tetap, tiga calon untuk jawatan ketua Puteri dan dua calon bagi mengisi 20 jawatan di peringkat exco Puteri,” jelasnya.

Beliau memberitahu, masih belum ada individu yang menghantar permohonan untuk bertanding bagi jawatan presiden di peringkat MKT.

“Ini mungkin kerana (mereka) yang nak bertanding sedang menyemak dan meninjau sambutan bagi jawatan yang ingin ditandingi.

“Bagi jawatan penting seperti ketua Wanita juga belum ada lagi calon, tetapi saya jangka akan wujud pertandingan apabila semua calon yang berminat menampilkan diri.

“Proses pendaftaran mengambil masa selama dua minggu, kami beri masa yang secukupnya bagi pendaftaran pertandingan untuk jawatan tertentu.

“Kami jangka proses ini berjalan sehingga 26 Februari dan akan bertambah meriah serta makin ramai yang akan mendaftar,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!