Lynas nafi tahap radioaktif tinggi dalam air bawah tanah
KUALA LUMPUR - Lynas Malaysia menafikan terdapat tahap radioaktif yang tinggi dalam air bawah tanah berdekatan lojinya di Gebeng, Kuantan.
Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Dr Ismail Bahairi dalam kenyataan berkata, berdasarkan laporan Penilaian Impak Radiologi (RIA) bagi fasiliti pelupusan kekal, tiada perbezaan signifikan kepekatan radionuklida dalam air bawah tanah atau ikan berdekatan loji itu, sepanjang 10 tahun syarikat tersebut beroperasi.
"Ini adalah berdasarkan bukti saintifik daripada data pemantauan yang direkodkan sebelum Lynas Malaysia memulakan operasi di Gebeng dan 55 pusingan pemantauan bebas dalam sembilan tahun Lynas Malaysia beroperasi,” katanya.
Kenyataan itu adalah susulan laporan media tempatan mengenai kehadiran radionuklida berdekatan loji Lynas Malaysia di Gebeng yang disifatkan syarikat itu sebagai berat sebelah dan mengelirukan.
"Menyatakan bahawa Lynas telah menemukan tahap radioaktif yang tinggi dalam air bawah tanah adalah tidak benar. Seperti dinyatakan oleh laporan RIA, kepekatan radionuklida bagi air bawah tanah masih dalam garis panduan air minum Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia,” kata Ismail.
Katanya, laporan RIA itu adalah sebahagian daripada laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang dilakukan oleh pakar termasuk Sahabat Alam Malaysia dan dipaparkan kepada orang awam selama lebih kurang setahun bagi membolehkan mereka memberi pandangan.
Laporan EIA itu turut mengandungi maklum balas daripada pakar tempatan dan antarabangsa dan ia diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar, katanya.
Beliau berkata, menurut laporan EIA, tiada perbezaan signifikan dalam radionuklida ikan yang ditangkap di dalam dan luar Kolam Takungan Air Ribut Lynas di Sungai Balok, justeru kenyataan bahawa Lynas menemukan elemen radioaktif adalah sesuatu yang tidak tepat dan mengelirukan.
"Lynas telah beroperasi secara selamat untuk lebih 10 tahun, selaras dengan peraturan Malaysia dan amalan terbaik antarabangsa termasuk dua pemeriksaan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mendapati Lynas adalah berisiko rendah dan mematuhi peraturan,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!