Mohd Hairi tawar diri tanding Ketua UMNO Johor Bahru

Mohd Hairi Mad Shah - Foto fail Awani
Mohd Hairi Mad Shah - Foto fail Awani
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, keputusan itu dibuat selepas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan kali ini.

"Setelah kita semua menerima pengumuman insan yang banyak berjasa kepada UMNO khususnya di Bahagian Johor Bahru iaitu Tan Sri Shahrir Abd Samad yang tidak menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, saya bersama-sama keluarga dan rakan-rakan mengadakan perbincangan untuk meneruskan kesinambungan yang telah banyak Tan Sri buat dalam Bahagian Johor Bahru.

"Semestinya tidak lain dan tidak bukan peranan sebagai ketua yang mencurahkan sepenuh jiwa dan raga kepada parti keramat Melayu khasnya membantu masyarakat dalam aspek khidmat bakti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 3 Februari lalu, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Shahrir akan melepaskan jawatan itu menjelang pemilihan parti selepas lebih empat dekad menjadi Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Mohamed Khaled mengumumkan perkara tersebut selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas UMNO di Pejabat UMNO Johor di sini.

Mohd Hairi yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor berkata, beliau mahu meneruskan pembangunan dan perjuangan parti di daerah ini.

"Justeru, saya dengan rasa rendah diri dan penuh tawaduk membuat dan mengambil keputusan untuk menawarkan diri saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru bagi meneruskan kelangsungan Tan Sri Shahrir," katanya.

Beliau turut mengharapkan sokongan dan dokongan semua untuk meneruskan kelangsungan serta legasi di Johor Bahru khususnya dalam aspek kebajikan dan khidmat bakti terhadap penduduknya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!