Tuntutan Sulu: Malaysia belum terima notis rasmi sitaan aset Petronas
Oleh sebab itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan ketepatan dan kebenaran perkara itu.
"Jika ia didapati benar, ini bukan kali pertama kumpulan yang mendakwa waris Sulu itu cuba merampas aset Malaysia di Luxembourg, berdasarkan ‘final award’ yang dikeluarkan seorang peguam Sepanyol yang dilantik sebagai penimbang tara, yang telah dibatalkan oleh mahkamah yang sama yang melantiknya, tanpa mendengar hujah Malaysia.
"Sebaliknya, ini satu usaha baharu untuk menyita aset menggunakan perintah pertama yang gagal dilaksanakan sebelum ini, yang baru-baru ini telah ditarik balik oleh mahkamah di Luxembourg,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Laporan Reuters pada Khamis (16 Februari) bertajuk "Aset Petronas di Luxembourg disita semula dalam pertikaian timbang tara AS$15 bilion”, yang menyatakan bahawa bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu terhadap dua unit milik syarikat minyak Petronas dari Malaysia minggu ini, susulan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion (AS$1= RM4.42) yang mereka peroleh terhadap Malaysia, menurut peguam waris terbabit serta dokumen mahkamah yang dilihat oleh Reuters.
Azalina berkata, jika laporan itu benar, Malaysia akan terus bersungguh-sungguh mempertahankan haknya di mahkamah bagi memastikan perintah sitaan kedua ini (jika ia wujud) akan ditarik balik juga oleh mahkamah Luxembourg, seperti perintah sebelum ini.
"Kami ingin mengingatkan orang ramai sekali lagi bahawa kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sulu dan peguam mereka, cuba memesongkan kebenaran kepada pihak media seperti yang telah mereka lakukan sebelum ini di mahkamah,” katanya.
Azalina berkata, kes ini merupakan satu skandal timbang tara yang menjejaskan dua institusi asas undang-udang, menghormati undang-udang dan mematuhi perintah mahkamah, dan Malaysia tidak akan berputus asa dalam mempertahankan haknya.
Sebelum ini Petronas menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu itu terhadap dua anak syarikatnya di Luxembourg (Luxcos) adalah tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan undang-undangnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!