Sabotaj PRK Rantau: Anwar belum terima laporan penuh
PORT DICKSON - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menerima laporan lengkap mengenai dakwaan berlakunya unsur sabotaj pada PRK Rantau lalu.
Menurutnya, siasatan awal sudah dilakukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Pengarah PRK Rantau, namun laporan lengkap belum dimaklumkan kepadanya.
"Laporan awal saya rasa sudah ada kepada pengarah pilihan raya. Kita sudah terima kenyataan bahawa itu adalah kubu kuat BN, dari awal lagi kita sudah jangka susah nak menang di situ terutamanya kawasan Melayu.
"Bagaimanapun, sebagai pemimpin dan ketua, saya perlu menunjukkan contoh yang baik, kita tetap berlawan dan meneruskan juga walaupun pada penilaian awal kita memang sudah tahu susah nak menang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Bumi Sedunia peringkat Dun Bagan Pinang dan Hari Ladang Pejabat Pertanian Port Dickson di Balai Raya Bagan Pinang di sini, hari ini.
Anwar berkata, Rantau bukan kubu kuat PH, dan mereka perlu menerima hakikat itu.
"Itu (Rantau) bukan kubu kita, lainlah di Permatang Pauh, kalau kita kalah itu ada masalah namanya.
"Kawasan juga kita perlu lihat, kalau bukan tempat kita memang susah kita nak menang, penilaian awal saya hari tu pun memang sudah nampak (susah nak menang)," katanya.
Terdahulu, Aminudin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan memberi jaminan siasatan dalaman akan dibuat jika terdapat bukti sabotaj dalaman sepanjang PRK Rantau hingga menyebabkan kekalahan parti itu.
Menurut sumber dakwaan sabotaj itu antaranya ketiadaan pengangkutan untuk membawa penyokong PH ke pusat mengundi selain segelintir pemimpin PH yang meminta pengundi tidak memilih Streram.
Pada 12 April lalu, SPR mengumumkan calon BN, Mohamad Hasan menang dalam PRK Rantau dengan 10,379 undi menewaskan Streram yang meraih 5,887 undi serta dua calon bebas, R Malar (83) dan Mohd Nor Yassin (79)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!