Malaysia kutuk penempatan haram Israel di wilayah Palestin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk dan membantah keputusan rejim Israel untuk membenarkan pembukaan sembilan pos penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) yang dikeluarkan pada Jumaat, keputusan untuk mewujudkan penempatan haram serta perluasan kawasan itu jelas mencabuli undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.

Ia termasuk Konvensyen Geneva 1949 yang berkaitan dengan Perlindungan Orang Awam Semasa Perang dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), khususnya Resolusi 2334 (2016).

"UNSC mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pematuhan kepada resolusi itu,” menurut kenyataan itu.

Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur adalah wilayah Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan perluasan penempatan haram Israel bermakna semakin banyak tanah Palestin dirampas secara tidak sah.

"Menghalalkan penempatan berkenaan jelas menunjukkan satu percubaan untuk mengekalkan pendudukan Israel," menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, masyarakat antarabangsa tidak boleh sama sekali membenarkan ia berlaku dan UNSC mesti menuntut rejim Israel untuk membatalkan keputusannya dan menghentikan aktiviti penempatan haram itu.

Pada Ahad, Israel mengumumkan keputusannya untuk membenarkan sembilan penempatan dibuka di Tebing Barat dan membina 10,000 kediaman baharu di atas tanah Palestin yang diduduki.

Susulan itu, lima sekutu utama Israel -- Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Itali dan United Kingdom -- mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam aktiviti penempatan itu, menurut laporan media. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!