Ulama main peranan penting, jadi rujukan kerajaan - TPM
PUTRAJAYA - Ulama memainkan peranan penting dalam sesebuah kerajaan yang dibentuk kerana golongan terbabit menjadi rujukan sebelum sesuatu polisi atau dasar dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis Liqa’ Perdana Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah di kediaman rasmi Sri Satria di sini malam Jumaat, Ahmad Zahid berkata, pandangan daripada golongan ulama mampu memastikan hala tuju yang ditentukan dalam polisi atau dasar adalah berpandukan al-Quran dan Sunnah.
"Setiap polisi atau dasar yang akan dilaksanakan mesti dirujuk dengan ulama agar segala usaha yang kita lakukan adalah atas nasihat dan doa ulama...insya-ALLAH matlamat untuk capai negara sejahtera akan tercapai,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kombinasi jalinan kerjasama antara pemimpin dan ulama dapat memastikan setiap permasalahan yang dihadapi negara dapat diatasi berpandukan ajaran Islam.
Beliau berkata, teguran dan nasihat daripada golongan ulama adalah dialu-alukan bagi memastikan kepimpinan negara sentiasa mendapat keberkatan.
Bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang polisi atau dasar yang diperkenal kerajaan, Ahmad Zahid berkata, majlis agama bersama ulama menjadi platform penting untuk membantu kerajaan mencambahkan pelbagai idea ke arah memartabatkan Islam.
Katanya, ulama merupakan obor kepada masyarakat dan berperanan memberi pencerahan dalam semua sudut kehidupan manusia berdasarkan al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menasihatkan para ulama agar tidak menyalah guna ayat al-Quran, Hadis, ijmak dan qias untuk mencapai matlamat politik sebaliknya memanfaatkan ilmu berkenaan untuk memperkukuh serta menjaga kesucian Islam.
"Sekiranya kita jaga perkara ini, ada niat yang baik untuk perkuatkan agama kita, insya-ALLAH, ALLAH pasti jaga kita. Jangan jadikan agama sebagai tunggangan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan, yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diwujudkan bagi memastikan setiap lapisan rakyat negara pelbagai kaum dan agama di Malaysia bersatu padu serta saling menghormati walau dalam apa jua situasi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!