Penyanyi Taiwan palsukan kematian kerana enggan buat 'comeback'

Liu mengalami serangan jantung tahun lalu, namun telah pulih dan kini menetap di Las Vegas. - Gambar fail/Facebook Liu Wen-cheng
Liu mengalami serangan jantung tahun lalu, namun telah pulih dan kini menetap di Las Vegas. - Gambar fail/Facebook Liu Wen-cheng
A
A
A

RAKAN baik dan ejen penyanyi Taiwan, Liu Wen Zheng, semalam menarik balik kenyataan mengesahkan penyanyi itu sudah meninggal dunia.

Pada Rabu, Hsia Yu-shun mengumumkan Liu telah meninggal dunia pada November tahun lalu akibat serangan jantung.

Hsia memberitahu portal hiburan Taiwan, ETtoday bahawa Liu, 70, memintanya untuk berbuat demikian.

"Dia masih hidup. Bagaimanapun, dia tidak mahu bertemu orang ramai, jadi dia meminta saya untuk mengeluarkan berita kematiannya bagi mengelakkan permintaan berterusan peminat yang mahu dia membuat kemunculan semula," kata Hsia.

Tambah Hsia, Liu telah diberi beberapa tawaran lumayan dari China, termasuk tawaran NT$2 bilion (RM297 juta) untuk melakukan konsert jelajah.

Dia juga mengesahkan walaupun Liu mengalami serangan jantung tahun lalu, dia telah pulih dan kini menetap di Las Vegas.

Namun beberapa media tempatan melaporkan Liu kini berada di Filipina, menurut kenyataan ibu saudaranya.

Antara penyanyi paling popular di Taiwan, Hong Kong dan China pada era 70an dan 80an, Liu dikenali dengan lagu-lagu hits klasiknya seperti The Promise, Late dan The Drizzle in March.

Dia berundur dari dunia hiburan pada tahun 1991. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!