Pasukan Liga-M 2023 lebih serius
Persiapan pasukan luar biasa
PERSIAPAN pramusim beberapa kelab untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2023 menerusi aksi persahabatan di luar negara termasuk Timur Tengah disifatkan sebagai luar biasa.
Jurulatih berpengalaman, B Sathianathan berkata, pendekatan pasukan menguji kekuatan dengan kelab luar negara menunjukkan mereka serius untuk membentuk skuad yang mantap.
Katanya, langkah itu juga adalah sesuatu yang positif kerana persiapan di luar negara berbeza berbanding aksi persahabatan dengan kelab tempatan.
“Persiapan pasukan yang berada di kedudukan enam atau tujuh carta Liga Super musim lalu sebagai luar biasa.
“JDT (Johor Darul Ta'zim) terbang ke Dubai, Kedah Darul Aman (KDA) FC ke Turkiye dan beberapa pasukan lain bermain di Bangkok, Thailand.
“Banyak kita boleh buat dengan melakukan persiapan yang lebih baik. Mengadakan perlawanan dengan pasukan yang kuat. Boleh bina kekuatan skuad di luar mata pasukan lain di Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar.
Selain JDT dan KDA FC, beberapa pasukan termasuk Selangor FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC (TFC) serta Kelantan FC yang terbang ke Bangkok mengadakan aksi persahabatan dengan kelab di Thailand.
Menurutnya, menerusi pemerhatian cara persiapan pasukan Liga-M, beliau menjangkakan JDT menjadi pilihan untuk mengulangi kejayaan musim lalu meraih kesemua empat kejuaraan.
Bagaimanapun, Selangor FC, TFC, KDA FC, Sri Pahang, Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC dilihat mampu memberi tentangan untuk mencabar skuad dari selatan tanah air itu daripada merangkul trofi.
“Skuad JDT sudah biasa didedahkan dengan lawan yang kuat. Mereka berada dalam saingan Asia. Ini kelebihan JDT untuk rangkul trofi.
“Selangor di bawah kendalian Tan Cheng Hoe juga banyak perubahan. Mampu tandatangani ramai import, selain memiliki pemain muda tempatan yang hebat.
“TFC pula masih ramai pemain yang sudah lama bersama walaupun dibimbing jurulatih baharu.
“Corak permainan juga sudah berubah. Kedah dilihat mampu beri tentangan, selain Sri Pahang, Sabah dan KL City,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!