Syor laksana penilaian risiko lebih kerap

Nurhayati menyampaikan mesej antirasuah.
Nurhayati menyampaikan mesej antirasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Penilaian risiko terhadap penggunaan dana awam perlu dijalankan lebih kerap supaya sebarang ketirisan kewangan negara dapat dikesan lebih awal dan diambil tindakan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, pelaksanaan pendekatan ini dilihat lebih praktikal di samping memastikan mereka terlibat dalam mengurus penggunaan dana awam lebih berhati-hati supaya tidak berlaku ketirisan.

"Sekiranya pengurusan pentadbiran kewangan ini dikawal selia dengan serius oleh mereka yang berintegriti, perancangan dan output sebarang gerak kerja akan dapat dipantau dengan teratur dan terperinci.

"Sebarang kebocoran dapat dikesan di peringkat awal dan ia setidak-tidaknya menjadi mitigasi kepada sebarang kerosakan kerugian yang mungkin terjadi.

"Lebih kerap penilaian risiko dilakukan, maka ia akan meningkat lagi ketelusan dalam penggunaan dana awam," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan semakan audit mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan hingga menyebabkan kerugian dana awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran secara keseluruhan berjumlah RM158.08 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dilaporkan berkata, jumlah tersebut melibatkan kerugian dana awam bernilai RM116.95 juta, manakala RM26.03 juta adalah pembayaran tidak teratur dan pembaziran RM15.10 juta.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2021, Nik Azman berkata, sebanyak tujuh topik berkaitan pematuhan audit telah dijalankan terhadap tiga kementerian dan empat Jabatan Persekutuan dengan jumlah semakan sebanyak RM1.127 bilion.

Jelas Nurhayati lagi, ketirisan ini akan memberi kesan besar kepada kesejahteraan rakyat Malaysia jika tidak ditangani dengan serius.

"Memastikan peralatan pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan sebagainya adalah jaminan kualiti dan keselamatan nyawa dan kehidupan.

"Ini merupakan isu integriti yang memberi kesan kepada hak asasi kemanusiaan. Membiarkan ketirisan bererti berkompromi dengan kezaliman.

"Tentu kita tak mahu itu berlaku dalam kita sedang membangun sebuah Malaysia Madani dengan #NilaiMoralKarakterBangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!