SinarPlus dijenamakan semula

Meen
Meen
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas tiga tahun, SinarPlus yang merupakan sisipan segmen gaya hidup dalam akhbar Sinar Ahad kini dalam proses penjenamaan semula.

Eksekutif Editor Gaya Hidup & Hiburan, Meen Tahrin berkata, SinarPlus yang boleh didapati dalam bentuk akhbar dan online akan lebih memberi fokus kepada hal ehwal wanita daripada pelbagai sudut.

Katanya, pendekatan itu bersesuaian dalam misi mempelbagaikan kandungan dalam akhbar Sinar Harian dan Sinar Ahad yang kini menjadi pilihan utama pembaca di Malaysia.

“Seperti semua sedia maklum, pembaca akhbar ini rata-ratanya terdiri daripada golongan lelaki. Dengan wujudnya SinarPlus dipercayai dapat mendampingi dan menawan hati golongan wanita.

“Proses yang dilaksanakan itu juga sejajar dengan matlamat besar Sinar Harian untuk menjadi media bahasa Melayu nombor satu dalam negara sama ada dalam versi cetak dan digital,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Memperincikan lebih lanjut, Meen berkata, SinarPlus akan tampil mengetengahkan beberapa segmen menarik pada setiap minggu.

Antaranya isu kesihatan, kekeluargaan, pelancongan, kecantikan, dekorasi, produk kecantikan, fesyen terkini, turbo, teknologi, personaliti atau idola ramai termasuk destinasi makan serta kisah inspirasi golongan wanita.

“Kami juga mempunyai program bual bicara, Borak Bibir Merah yang mengangkat tentang isu wanita dan Doktor dan Anda (DNA) yang mengupas hal kesihatan serta program Cerita Orang Kita. Program interaksi ini dilaksanakan bagi memastikan konsep kewanitaan dapat diterjemahkan dengan lebih baik dan lebih difahami,” katanya.

Menurut Meen lagi, transisi itu juga menyaksikan SinarPlus menukar paparan laman web dan sisipan kepada rona merah jambu berbanding warna biru sebelum ini.

Untuk mendasari inti pati SinarPlus dengan lebih lanjut, pembaca boleh melayari sinarplus.sinarharian.com.my.

Selain di laman TikTok, segala informasi turut disalurkan di platform Twitter, Instagram, YouTube dan Telegram.

Serentak dengan itu, katanya, SinarPlus juga menganjurkan peraduan Live Your Life yang bermula pada 2 Februari lalu dan akan berakhir pada Isnin ini.

“Menerusi peraduan berkenaan, seramai 30 pemenang bertuah akan dipilih, sekali gus berpeluang untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan ulang tahun,” katanya.

Cara untuk menyertai pertandingan tersebut cukup mudah. Orang ramai hanya perlu memuat naik gambar atau video aktiviti harian seperti bersukan, aktiviti beli-belah, memasak dan lain-lain di akaun Instagram SinarPlus.

“Nyatakan kapsyen mengapa ingin menyertai sambutan ulang tahun SinarPlus, Live Your Life di District 21, kemudian tag tiga orang rakan yang ingin dibawa bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!