Suami isteri maut motosikal kuasa tinggi hilang kawalan

Suami isteri maut selepas motosikal BMW yang ditunggang mereka hilang kawalan dalam nahas di Gopeng pada Jumaat. - Foto Ihsan Pembaca
Suami isteri maut selepas motosikal BMW yang ditunggang mereka hilang kawalan dalam nahas di Gopeng pada Jumaat. - Foto Ihsan Pembaca
A
A
A

GOPENG - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang mereka terbabit dalam nahas di Kilometer 296.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Jumaat.

Kejadian itu mengorbankan Mohd Rizal Othman dan isterinya, Azura Abdullah, masing-masing berusia 48 tahun akibat kecederaan dialaminya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, maklumat awal kemalangan diterima sekitar jam 6.15 petang melibatkan motosikal jenis BMW R1200 GS Adventure dan kereta jenis Perodua Bezza.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada motosikal yang hilang kawalan lalu bergesel dengan kereta di lorong kanan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu merupakan wanita berusia 25 tahun luka di jari," katanya.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

"Kedua-dua kenderaan terlibat dihantar ke pihak Puspakom untuk pemeriksaan.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!