Filem Pulau tidak ditayangkan di Terengganu

Mohd Harun (Gambar kecil: Filem Pulau)
Mohd Harun (Gambar kecil: Filem Pulau)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk tidak menayangkan filem kontroversi, Pulau di semua pawagam di negeri berkenaan.

Ketua Pemudanya, Mohd Harun Esa berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini.

"Pengharaman ini memberi isyarat jelas kepada semua pengamal seni dan industri-industri lain yang mahu bekerjasama dengan kerajaan Terengganu agar mengikut segala garis panduan pelaksanaan syariah yang telah ditetapkan oleh negeri ini.

"Kita juga berharap agar semua kerajaan negeri yang ada di Malaysia mengikut jejak langkah yang dibuat oleh negeri Terengganu sekali gus menolak budaya tidak senonoh dan adegan melampau yang akan merosakkan minda anak bangsa," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Berdasarkan laporan media pada Jumaat, penerbit filem, Fred Chong menyatakan kesediaan untuk bertemu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu berikutan keputusan kerajaan negeri mengharamkan tayangan filem itu.

Menurut Chong, pihaknya bersama wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan ke Terengganu dalam masa terdekat bagi membuat rayuan selain menayangkan filem itu kepada wakil kerajaan negeri.

Jelas beliau, ia bertujuan memberi pencerahan supaya pihak berkenaan membuat penilaian sama ada filem itu mengandungi unsur 'soft porn' atau sebaliknya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan maklum balas Exco Kerajaan Negeri berhubung perkara itu tiada sebarang jawapan.

Filem Pulau yang mengisahkan pengembaraan sekumpulan anak muda ke sebuah pulau mencetuskan kontroversi selepas treler filem itu ditayangkan di media sosial sejak sebulan lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!