Tekad KKD merevolusikan pembangunan Internet
SEIRING pembangunan dan pemesatan penggunaan teknologi masa kini, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tekad untuk memenuhi kehendak rakyat selaras keperluan harian pengguna.
Menggalas tanggungjawab untuk memberi yang terbaik kepada rakyat terutama dari segi capaian Internet, KKD telah merangka beberapa pelan strategik bagi membangunkan ekonomi digital sekali gus mencipta dekad keemasan digital negara.
Pada dasarnya, KKD mahu memastikan capaian Internet yang laju, murah dan stabil dalam pembangunan berkenaan sekali gus mudah dinikmati oleh rakyat daripada golongan sasar.
Menetapkan tiga teras utama bagi pembangunan pelan strategik tersebut, ia merangkumi prasarana komunikasi, keselamatan siber dan ekonomi digital yang disokong oleh reformasi penyiaran dan penerangan serta industri kreatif.
Sebagai permulaan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Disember lalu mengumumkan kerajaan akan memperluaskan Pakej Remaja kepada golongan belia.
Sebelum ini katanya, pakej berkenaan hanya dihadkan kepada golongan remaja berumur 12 hingga 24 tahun, namun selepas ini ia boleh dinikmati oleh belia berumur sehingga 30 tahun; golongan berpendapatan rendah (B40); orang kurang upaya (OKU); warga emas dan veteran.
Kesemua golongan yang dinyatakan akan menikmati penurunan harga pakej telekomunikasi bagi langganan prabayar Internet mudah alih berbanding pakej semasa di pasaran bermula bulan ini.
Pakej Internet Perpaduan
Dalam pada itu, Fahmi dilaporkan berkata, komitmen kerajaan dizahirkan dengan pelancaran Pakej Perpaduan iaitu Pakej Prabayar Internet Mudah Alih bagi mengurangkan beban rakyat sekali gus dapat membantu meminimumkan kos sara hidup.
Pakej berkenaan ditawarkan pada harga serendah RM30 dengan peningkatan kelajuan Internet mudah alih daripada 1Mbps ke 3Mbps.
Selain itu, kuota Internet turut dinaikkan daripada 20 gigabait (GB) untuk 90 hari (tiga bulan) kepada 30GB bagi tempoh 180 hari (enam bulan), sekali gus memberikan pengguna menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada.
Jika sebelum ini pengguna perlu membayar RM10 untuk tempoh sebulan, namun dengan pakej berkenaan pengguna hanya perlu berbelanja sekitar RM5 sebulan.
Pakej tersebut adalah pakej asas yang ditawarkan dan penyedia perkhidmatan dialualukan sekiranya mahu menambah nilai terhadapnya.
Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar yang disediakan oleh lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Pakej Perpaduan ini disasarkan kepada golongan belia, B40, OKU, warga emas dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta veteran polis.
Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap
Meneruskan komitmennya, KKD pada awal Februari lalu telah mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Fixed Internet Broadband) yang ditawarkan kepada golongan sasar bagi membantu mengurangkan kos sara hidup.
Pakej berkenaan menawarkan perkhidmatan capaian Internet dengan kelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had (unlimited data) pada harga RM69 sebulan dan mula ditawarkan pada Mac ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan (dua tahun).
Fahmi berkata, harga yang ditawarkan menerusi pakej ini adalah 22 peratus lebih murah berbanding pakej semasa iaitu RM89 sebulan dengan spesifi kasi sama.
Menerusi Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap, pengguna dapat menikmati penjimatan sehingga RM480 sepanjang tempoh kontrak.
Inisiatif berkenaan mencerminkan indikator Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi prihatin terhadap keperluan serta kebajikan rakyat di samping seiring dengan hasrat untuk meringankan beban rakyat.
Pakej ini mendapat kerjasama daripada syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro.
REAKSI RAKYAT
“Inisiatif kerajaan ini harus dipuji kerana kita tahu pengguna terbeban dengan perkhidmatan Internet yang mahal. Diharapkan Pakej Perpaduan ini dapat diperluaskan lagi kepada kumpulan sasar lain agar semua rakyat dapat menikmati kemudahan ini.” - Peniaga, Muhammad Syazwan Khairudin
“Kita dapat lihat kesungguhan kerajaan untuk menambahbaikan perkhidmatan Internet dan semestinya memberi ‘langkah kanan’ kepada golongan pelajar yang sememangnya bergantung kepada capaian Internet untuk sesi pembelajaran. Selain dapat mengurangkan beban pelajar, pakej ini membantu ibu bapa juga kerana dapat mengurangkan perbelanjaan bagi kemudahan anak yang masih belajar.” - Pelajar, Nur Athirah Hashim.
“Pengenalan kepada Pakej Internet Perpaduan tepat pada masanya kerana sekarang ramai yang melakukan perniagaan dalam talian. Dengan adanya tawaran seperti ini, sudah pasti akan melegakan pengguna kerana mendapat kemudahan yang murah tetapi berkuali.” - Pekerja swasta, Nor Hazwani Rahman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!