MCCABE menang peringkat 3, rampas jersi kuning

No Image Caption
A
A
A

PELUMBA Floyd’s Pro Cycling, Travis McCabe mengungguli Peringkat 3 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2019 dari Muar ke Putrajaya hari ini, sekali gus merampas jersi kuning pendahulu serta jersi pungutan mata Raja Pecut di akhir peringkat sejauh 192.6 kilometer itu.

Ia adalah kemenangan peringkat ketiga dalam sejarah penyertaannya di LTdL selepas menyinar dengan dua kemenangan peringkat ketika bersama UnitedHealthCare, dua tahun lalu dan lebih manis apabila turut bonus masa yang diterima turut membolehkannya merampas jersi kuning pendahulu yang disarung pelumba Team Sapura Cycling, Marcus Culey.

McCabe, 29, dari Arizona, Amerika Syarikat tetapi menyertai pasukan benua dari Australia itu sejak awal 2019 ini, mencatat masa 4 jam 49 minit 39 saat, 2 saat di depan kumpulan besar yang diketuai pakar pecut Androni-Giocattoli Sidermec, Matteo Pelucchi manakala Andrea Guardini, sekali lagi dihampakan apabila sekadar di tempat ketiga.

Dia kini memimpin carta mata Raja Pecut dengan 28 mata, hanya 1 mata di depan Michael Freiberg dari Pro Racing Sunshine Coast dan Guardini.

Angus Lyons dari pasukan Oliver’s Real Food Racing masih mengukuhkan cengkamannya dalam perebutan jersi merah Raja Bukit apabila menambah 1 mata pada zon pendakian tunggal di Bukit Pelanduk, kini 17 mata di depan Culey.

Namun kegembiraan lebih besar dirasai skuad kebangsaan Malaysia apabila pelumbanya, Sofian Nabil Omar Bakri yang cemerlang membuat pemecahan awal, memungut mata maksimum dalam ketiga-tiga zon pecutan di Simpang Ampat, Lubok Cina dan Lukut, untuk disarungkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia.

McCabe berkata dia mengetahui kehebatan pengurus pasukannya, Gordon Fraser yang pernah bergelar Raja Pecut LTdL sebanyak dua kali pada awal dekad lalu serta pengasas pasukan, Floyd Landis yang pernah tampil dalam jelajah terbesar Asia itu.

“Saya gembira kerana taktikal hari ini menjadi. Ini memang dirancang iaitu menguasai selekoh terakhir dan walaupun jalan agak basah dan merbahaya, rakan sepasukan Serghei (Tvetcov) dan Jonathan (Clarke) berjaya menguasai kelompok depan.

Artikel Berkaitan:

“Saya memecut agak awal iaitu pada baki 500 meter kerana terfikir ia boleh memberikan saya jersi kuning juga dan ia berbaloi kerana saya berada agak jauh di depan dan gagal dikejar pencabar lain,” kata juara Raja Pecut Tour of Utah 2018 itu.

Menurutnya, berdepan pendakian ke Genting Highlands esok, dia akan cuba mempertahankan jersi hijau itu dan bertindak selaku pelumba bantuan kepada pakar mendaki pasukan Floyd’s Pro Cycling.

Sementara itu, tindakan Sofian Nabil yang menyertai dua pelumba lain – Shi Hang (Giant Cycling Team) dan Kwon Soonyeong (KSPO-Bianchi) membuat pemecahan awal ternyata memberi pulangan memuaskan buat pelumba berusia 26 tahun itu untuk menguasai tiga zon pecutan dan satu zon pendakian di sepanjang laluan Peringkat 3 itu.

Dia muncul pelumba terbaik Asia apabila berada 5 saat di depan pencabar terdekat Vadim Pronsky dari Vino Astana dan Shoi Matsuda (Jepun).

“Memang ini dalam perancangan saya dan jurulatih Yusof Nasir sebelum perlumbaan bermula kerana menyedari saya mampu merampas jersi putih ini daripada pelumba KSPO, Kim Jihun.

“Saya amat gembira dan berpuas hati, dan kini boleh tidur lena kerana memenuhi hajat untuk menyarung jersi di LTdL.

“Menyedari mungkin jersi ini akan dirampas dalam pendakian ke Genting esok, saya akan cuba membantu rakan sepasukan terutama Nik Azwan (Zulkiflie) dan kedudukan pasukan kebangsaan dalam senarai berpasukan,” katanya yang lebih yakin dalam penampilan kali keempat LTdL ini selepas berlatih gigih sejak dua bulan serta menarik perhatian Yusof dalam dua sesi pemilihan yang diadakan.

Peringkat 4 LTdL esok membabitkan pendakian sukar berstatus Hors sejauh 115km ke puncak Genting Highlands, bermula dari Dataran Shah Alam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!