DAPSY buat laporan polis isu provokasi Jalan Temiang

Chun Weng (tengah) menunjukkan laporan polis dan akaun TikTok yang didakwa membuat provokasi berhubung penukaran nama Jalan Temiang.
Chun Weng (tengah) menunjukkan laporan polis dan akaun TikTok yang didakwa membuat provokasi berhubung penukaran nama Jalan Temiang.
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Sembilan tampil membuat laporan polis terhadap seorang pengguna akaun TikTok yang didakwa membuat hantaran provokasi mengenai penukaran nama Jalan Temiang pada Sabtu.

Ketuanya, Lim Chun Weng berkata, baru-baru ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan untuk menukar nama dua jalan utama di bandar ini kepada nama dua tokoh, masing-masing dalam hal ehwal agama dan politik, iaitu Allahyarham Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad dan mendiang Dr Chen Man Hin.

"Jalan Sikamat ditukar menjadi Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad, iaitu bekas Mufti Negeri Sembilan manakala Jalan Temiang ditukar menjadi Jalan Dr Chen Man Hin, pengasas yang kemudian pengerusi dan penasihat seumur hidup DAP ketika hayatnya.

"Seorang pengguna TikTok tidak bertanggungjawab telah membuat posting yang bertajuk "DAP dah buat kerja" di mana video ini berbau provokasi dan memutarbelitkan fakta yang sebenar atas tindakan kerajaan Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Chun Weng menunjukkan laporan polis dan akaun TikTok yang didakwa membuat provokasi berhubung penukaran nama Jalan Temiang.
Chun Weng menunjukkan laporan polis dan akaun TikTok yang didakwa membuat provokasi berhubung penukaran nama Jalan Temiang.

Ujarnya, dalam video tersebut, pemiliknya dengan sengaja dan dengan salahnya mengelirukan orang awam bahawa jalan yang telah ditukarkan nama adalah Temiang Bypass, walhal jalan yang ditukar nama adalah Jalan Temiang.

"Seterusnya, tindakan mengaitkan Dr Chen Man Hin sebagai pengasas People Action Party (PAP) dan penggerak parti komunis adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, pengguna akaun berkenaan turut menggunakan lambang DAP dan dengan bermotif jahat mengaitkan parti DAP dengan parti komunis.

"Saya percaya bahawa tindakan ini adalah bermotif jahat untuk memainkan sentimen perkauman. Ia merupakan satu cubaan untuk membuat provokasi bahawa kerajaan Negeri Sembilan dikawal oleh komunis dan juga PAP, di mana ia tidak benar sama sekali," jelasnya.

Mendiang Man Hin merupakan pengasas parti DAP yang meninggal dunia di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos tahun lalu pada usia 97 tahun.

Man Hin yang juga penasihat seumur hidup DAP merupakan bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Setakat ini, video berdurasi 32 saat itu mendapat lebih 77,000 tontonan telah tular dan mendapat pelbagai komen daripada pelayar TikTok.

Laporan polis telah dibuat oleh Chun Weng berhubung video berkenaan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban pada jam lebih kurang 10 pagi Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!