'Saya dipanggil SPRM bukan sebagai suspek' - Muhyiddin
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukannya sebagai 'suspek'.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, SPRM memintanya memberikan penerangan berhubung program Jana Wibawa.
"Itulah perkara yang saya dah berikan kerjasama yang agak baik.
"Mereka pun layan dengan baik, tiada desakan kerana mungkin mereka pun dah tahu latar belakang tetapi kerana nak minta 'statement' dan saya tanya adakah saya suspek, mereka kata bukan suspek, cuma saya diminta untuk membantu jelaskan hal-hal yang telah saya jelaskan tadi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Blood Donation Drive Anjuran Yayasan TSM Charity Golf pada Sabtu.
Jelas Muhyiddin, projek Jana Wibawa diusahakan Kementerian Kewangan yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan pada masa itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz
"Saya setuju kerana pada waktu Covid-19, antara yang paling teruk terkesan adalah kontraktor bumiputera. Jadi kalau tak dibantu mungkin mereka dah gulung tikar.
"Maka idea itu datang daripada Tengku Zafrul dan saya bersetuju, kemudian dibawa ke kabinet dan kabinet luluskan," ujarnya.
Menurutnya, selepas itu ia dilaksanakan dan Persatuan Pemborong Bumiputera diminta mengemukakan nama-nama kontraktor yang berwibawa serta mendapat kelulusan CIDB dengan tiga hingga lima bintang membabitkan lebih daripada 54 buah syarikat yang layak.
"Peraturan ini ditetapkan oleh MOF dan mereka mempunyai kuasa menentu dan memilih. Pejabat Perdana Menteri hanya menerima nama-nama mengikut kategori ditetapkan sebelum dikemukakan kepada pihak kementerian kewangan. Jadi proses menimbang hingga peringkat kelulusan tidak melibatkan perdana menteri.
"Ini nak saya jelaskan, punca kuasa bukan dari pejabat PMO, ia adalah diperingkat Kementerian Kewangan cuma saya diminta untuk salurkan kepada saya supaya kita dapat kemukakan, itu sahaja caranya," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan menolak cadangan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidin yang mahu PMO memproses permohonan.
"Seolah-olah dia nak turun kuasa pada PMO, saya takut, saya kata ini bukan kerja PMO. Ini adalah kerja yang harus dibuat MOF dan agensi lain yang bertanggungjawab.
"Jadi semua ini tak terlibat dengan saya. Saya tidak memutuskan atau meluluskan dan saya juga tak kenal kontraktor-kontraktor itu, jumpa pun tak pernah dan nama-nama 'company' pun saya tidak tahu," tegasnya.
Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin parti berkenaan selain pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM bagi dirakam keterangan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan pembekuan akaun Bersatu bagi membantu siasatan.
Siasatan berhubung perkara itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!