1.8 bilion panggilan, 365 juta SMS luar negara telah disekat

Zulkarnain (kiri) ketika Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom pada Sabtu.
Zulkarnain (kiri) ketika Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 1.8 bilion panggilan dan 365 juta mesej pesanan ringkas (SMS) yang dikenal pasti sebagai scammer dari luar negara telah disekat setakat ini.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yasin berkata, kesemua jumlah panggilan dan SMS yang disekat melibatkan nombor luar negara.

"MCMC menjalankan kaedah pengesanan terhadap kesemua panggilan dan SMS berkenaan yang mana dipercayai digunakan sindiket bagi tujuan penipuan.

"Ia didapati menerusi kerjasama yang dijalankan antara pihak MCMC bersama pelbagai pihak terdiri daripada agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, antara taktik digunakan sindiket penipuan adalah menggunakan nombor sebenar agensi atau pihak berkaitan ketika menghubungi mangsa.

"Ada kes yang mana, bila mangsa semak, ia sememangnya nombor sebenar agensi atau pihak terlibat, namun ia sebenarnya dipalsukan.

"Dalam kejadian sebegini, pengguna harus memainkan peranan penting dengan menyemak terlebih dahulu kesahihan berkaitan panggilan atau SMS yang diterima dan jangan meletakkan kepercayaan sepenuhnya bagi mengelakkan menjadi mangsa," ujarnya.

Tambahnya, peranan sebenar adalah daripada individu sendiri bagi mengelakkan diri terperangkap menjadi mangsa.

"Harus diingatkan bahawa sindiket penipuan ini bijak mengambil peluang berdasarkan keadaan dan mereka tidak fikir tentang apa jua keadaan mangsa sama ada mangsa itu golongan kaya atau sebaliknya.

"Terutamanya melibatkan penipuan berkaitan bantuan-bantuan kononnya dari kerajaan, jangan sewenangnya klik kepada hantaran yang dikongsi dan perlu teliti dalam apa jua tindakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!