Maritim Pulau Pinang tahan bot nelayan, 5 warga Myanmar
GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggajikan lima warga Myanmar yang tiada sebarang dokumen perjalanan diri, dalam pemeriksaan di 42.3 batu nautika barat laut Pulau Kendi, di sini pada Jumaat.
Pengarah APMM Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya yang sedang menjalankan rondaan rutin telah memeriksa bot nelayan tempatan kelas C ketika sedang menangkap ikan pada 10.30 pagi.
"Ketika ditahan tekong bersama empat lelaki yang kesemua warga Myanmar berusia 23 hingga 42 tahun sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda dan pemeriksaan awal mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemeriksaan lanjut juga mendapati mereka tiada surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia ketika diminta penguat kuasa kami," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, semua mereka ditahan dan kes disiasat menurut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Beliau berkata, bot, peralatan menangkap ikan dan 300 kilogram hasil laut dirampas untuk siasatan lanjut dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang masih menggajikan warga asing tanpa izin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!