Saham amanah pelaburan berpotensi membina kewangan keluarga

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
A
A
A

SUNGAI PETANI - Saham amanah merupakan satu bentuk pelaburan yang berpotensi untuk membantu membina kewangan diri dan keluarga, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata pengaruh yang wujud dalam persekitaran pada waktu ini menuntut semua untuk membuat persediaan lebih dalam memenuhi tuntutan kewangan masa depan.

“Kelalaian untuk merancang kewangan selalunya dirasai ketika tibanya waktu keperluan dana untuk membiayai peristiwa-peristiwa penting dalam kehidupan seperti keperluan pelajaran anak-anak atau pembelian rumah,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Minggu Amanah Malaysia (MSAM) 2019.

Acara itu yang diadakan di pekarangan Amanjaya Mall di sini, bermula 19 April dan akan berakhir pada 25 April.

Zeti berkata MSAM iaitu acara unit amanah tahunan PNB yang penting dianjurkan dengan bermatlamat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai aspek pelaburan kewangan, dan telah menarik lebih 3.8 juta pengunjung sejak mula diadakan pada tahun 2000.

Menurutnya, PNB yang ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai pengurus dana untuk membantu membangunkan ekonomi rakyat Malaysia, telah berjaya membawa pulangan pelaburan yang kompetitif kepada pelaburnya.

“Dalam tempoh melebihi 40 tahun, PNB telah berjaya mengharungi pelbagai keadaan getir dan krisis ekonomi serantau dan dunia yang sudah pasti ada naik dan turunnya.

“Tetapi dinilai secara keseluruhan, prestasi PNB sejak penubuhan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Buat masa kini, PNB mempunyai 13.8 juta pemegang akaun yang mempunyai nilai aset sebanyak RM236.6 bilion, dan jika dicampurkan dengan dana syarikat sebanyak RM61.9 bilion, PNB bertanggungjawab ke atas sejumlah RM298.5 bilion aset, jelasnya.

Menurutnya lagi, ini merupakan tanggungjawab besar yang harus dijaga melalui pengurusan yang berhemah, profesional, telus dan amanah.

Bagi usaha PNB pada masa akan datang, Zeti berkata fokus strategik utama PNB bagi tahun ini ialah pelaksanaan kajian semula dan pengemaskinian Pelan Strategik 2017 hingga 2022.

Tiga aspek yang akan diberikan penekanan, katanya termasuk mempelbagaikan pelaburan dengan meningkatkan pelaburan dalam pelbagai kelas aset dan juga memperkukuhkan pengurusan mudah tunai bagi pulangan yang optimum.

PNB juga akan turut memperkukuhkan pengurusan risiko supaya lebih menyeluruh dan bersepadu bagi mengurangkan kemungkinan kerugian di samping melakukan transformasi organisasi supaya lebih cekap, cemerlang dan berhasil, tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!