Gempa bumi: Mayat pemain bola sepak, Atsu sudah ditemui
HATAY - Mayat pemain bola sepak kelab Turkiye, Christian Atsu telah ditemui selepas gempa bumi dahsyat di negara tersebut, lapor media tempatan yang memetik kenyataan pengurusnya.
Pemain dari kelab Hatayspor berusia 31 tahun dilaporkan terperangkap dalam gempa bumi berukuran 7.8 mangnitud yang menggegarkan Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu, mengorbankan 43,000 orang.
Laporan awam menyatakan Atsu diselamatkan sehari selepas gempa bumi ternyata palsu.
Pengurusnya, Murat Uzunmehmet memberitahu agensi berita DHA pada Sabtu bahawa mayat Atsu ditemui bawah runtuhan di wilayah Hatay, selatan Turkiye.
"Kami telah menjumpai mayatnya. Barangan peribadi termasuk telefon bimbit turut ditemui," kata Murat kepada DHA.
Pemain tengah itu menghabiskan empat musim di Chelsea sebelum berpindah ke Newcastle pada 2017. Dia kemudian menandatangani kontrak untuk menyertai Liga Super Turkiye dalam kelab Hatayspor pada September lalu.
Difahamkan anggota penyelamat menemui mayat Atsu di tempat dia menginap di Ronesans Residence, apartment mewah di bandar Antakya, Hatay.
Sebelum ini, polis Turkiye telah menahan kontraktor bangunan itu di Lapangan terbang Istanbul ketika dia sedang perjalanan menuju ke Montenegro. - AFP
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!