Lima saranan OKU untuk kerajaan
SHAH ALAM - Pergerakan Advokasi Hak-hak Orang Kurang Upaya Malaysia (Boleh Space) mencadangkan lima saranan kepada kerajaan bagi keseimbangan dan menaik taraf berkaitan hak Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut kenyataan Boleh Space, antara cadangan tersebut adalah menaik taraf Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU) ke jabatan penuh di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan sekurang-kurangnya 50 peratus pegawai serta pekerja daripada golongan berkenaan.
"Namun, sekiranya tiada berkelayakan untuk menjadi pengarah, sasarkan supaya golongan berkenaan menjadi Pengarah JPOKU dalam tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun.
"Kedua, mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Orang Kurang Upaya di Parlimen dan membentangkan Laporan Penuh Pelan Tindakan OKU 2016-2022 serta menubuhkan Unit Hal Ehwal OKU di bawah Pejabat Ketua Setiausaha setiap Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Unit itu akan berperanan untuk merealisasikan Dasar 1 peratus OKU berkhidmat dalam setiap kementerian serta kerajaan negeri, membantu dari segi nasihat serta sokongan kepada ketua bahagian yang baru mengambil pekerja OKU serta pekerja OKU sendiri.
"Memastikan kementerian serta kerajaan negeri menjalankan dasar-dasar berkaitan OKU seperti Pelan Tindakan OKU 2016-2022, Akta OKU 2008, UBBL34A, 'Zero Reject Policy' di sekolah serta Dasar Pendidikan Inklusif di IPTA," katanya
Tambah kenyataan itu, kerajaan juga disarankan menubuhkan Suruhanjaya Hak Orang Kurang Upaya dengan ahli suruhanjaya tersebut dilantik dalam kalangan mereka berkelayakan dengan setiap ahli mewakili kategori OKU yang berbeza.
Ujarnya, suruhanjaya itu berperanan untuk mempergiat pendidikan hak asasi OKU, menasihati dasar dan perundangan, dan melakukan penyiasatan.
"Ini untuk memastikan hak-hak OKU di Malaysia diperjuangkan dan setiap pelanggaran hak mereka disiasat dan diselesaikan.
"Selain itu, menambah bilangan senator mewakili OKU daripada kategori OKU berbeza dengan melaksanakan penambahbaikan proses pencalonan, saringan dan pelantikan secara terbuka dan telus bagi jawatan tersebut untuk wakil OKU, ahli-ahli Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) serta ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa teknikal dibawah MKBOKU.
"Ini juga termasuk menyediakan sistem direktori supaya Senator, ahli MKBOKU serta ahli Jawatankuasajawatankuasa teknikal boleh dihubungi secara terbuka," jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, kelima-lima cadangan itu dibuat selepas pihaknya meneliti kandungan agenda Malaysia Madani, di mana dapat dilihat peluang lebih luas bagi kerajaan menjayakan perangkuman OKU dalam pembangunan negara.
Katanya, agenda Malaysia Madani yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari lalu menyentuh pelbagai perkara penting, termasuk tatakelola yang baik dan demokratik, keadilan sosial, pemartabatan maruah rakyat, ekonomi manusiawi dan aspek kritikal lain.
"Perdana Menteri juga dengan jelas dan tegas memetakan halatuju negara dengan keutamaan-keutamaan signifikan yang merentasi dimensi politik, sosial, ekonomi, alam sekitar serta teknologi.
"Justeru, Aspirasi Malaysia Madani benar-benar menyentuh isu dan keperluan rakyat, khususnya mereka yang terpinggir termasuk orang kurang upaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!