Scammer bijak main emosi, psikologi takutkan mangsa
PETALING JAYA - Kaedah menakutkan mangsa antara taktik digunakan sindiket penipuan dalam talian terutamanya Macau Scam untuk memerangkap mangsa.
Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, taktik sebegini sekali gus menjadikan mangsa khuatir dirinya telah melakukan kesalahan.
"Perkara ini berlaku sendiri kepada adik ipar saya yang mana dirinya hampir menjadi mangsa scam apabila diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun.
"Bagaimanapun tindakannya itu berjaya saya halang dan ketika itu dia mendakwa dirinya akan ditahan polis sekiranya tidak bertindak sedemikian.
"Bila saya menyedarkan dia dengan mengingatkannya bahawa saya juga pegawai polis, barulah dia sedar bahawa dia sebenarnya diperangkap," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom di sini pada Sabtu.
Katanya, sindiket bijak menggunakan keadaan di mana bermain dengan psikologi dengan menjadikan mangsa tidak mempunyai ruang untuk mempersoalkan tuduhan diberikan.
"Suasana menerusi panggilan yang mana seolah-olah dalam pejabat meyakinkan mangsa bahawa individu yang bercakap itu memang benar seorang pegawai kerajaan.
"Sindiket turut menakutkan mangsa dengan membacakan peruntukan undang-undang sedia ada dan adakalanya mangsa akan ditakutkan dengan hukuman penjara dan sebagainya," katanya.
Ujar Victor, penipuan dalam talian ini memberikan kesan yang amat besar sehingga ada di antara mangsa sanggup menggadaikan nyawa kerana terlalu kecewa.
"Jenayah siber ini sifatnya amat kejam dan ia langsung tidak memilih mangsa, sehingga ada kes mangsa yang nekad mengambil nyawa sendiri namun sempat dihalang setelah saya nasihatkan bahawa tindakan tersebut bukan satu jalan penyelesaian.
"Kesedaran berkaitan jenayah siber ini seharusnya dimulakan sejak peringkat awal, dan saya harap ia dapat didedahkan seawal usia kanak-kanak bagi membina satu benteng kesedaran yang kukuh berkaitannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!