Wujud keperluan pinda Akta Perlindungan Peribadi - Fahmi
PETALING JAYA - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan wujud keperluan bagi kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Peribadi 2010 (Akta 709) dalam usaha mengekang kebocoran data pengguna sekali gus mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa penggodam.
Fahmi berkata, pindaan dan penambahbaikan terhadap akta berkenaan perlu dilaksanakan untuk memberi peringatan kepada organisasi yang mengendalikan data bagi tujuan transaksi komersial atau keselamatan, memahami tanggungjawab melindungi data pelanggan.
“Pindaan ini untuk memahamkan mereka sekiranya culas dan gagal melindungi (data pengguna), mereka akan dikenakan penalti yang lebih serius.
“Pada waktu ini mereka seperti tidak ada rasa segan silu kalau berlaku ketirisan data pengguna, malah jika buat penafian, tidak ada pengesahan sama ada kenyataan itu benar atau tidak,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan program Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia (CSM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan turut meminta CSM untuk menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan sama ada agensi awam atau swasta bagi melaksanakan audit berkenaan keselamatan siber.
“Jadi sebelum dilancarkan aplikasi baharu, wajar untuk CSM secara automatik meneliti dan menilai keselamatan aplikasi berkenaan di peringkat awal.
“Ini adalah keperluan yang agak mendesak kerana ketirisan boleh berlaku, usaha penggodaman berterusan dan saya pasti bila sebut seperti ini akan ada lagi serangan terhadap aset-aset kementerian selepas ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama dengan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam memerangi sindiket penipuan atas talian, Fahmi berkata, ada keperluan untuk menubuhkan pengkalan data dan kerangka kawal selia di peringkat kerajaan negara terlibat.
"Saya lihat perlu wujudkan kerangka di peringkat ASEAN untuk menguruskan pemindahan data melibatkan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (antara negara) untuk mematahkan sindiket ini.
"Perlu ada kolaborasi (antara negara) kerana sindiket ini akan memerhatikan negara mana yang mempunyai kelompongan undang-undang untuk mereka bergerak.
"Jadi apa yang terpakai di Malaysia mungkin tidak terpakai di negara jiran, namun sekiranya semua kerajaan negara ASEAN memahami jenayah siber ini melibatkan semua pihak, mungkin kita akan 'update' undang-undang terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!