Usaha banteras scammer perlu kerjasama semua

Mohamad Fauzan (dua dari kiri) ketika menjayakan Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom pada Sabtu.
Mohamad Fauzan (dua dari kiri) ketika menjayakan Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Semua pihak harus memainkan peranan sewajarnya dalam membanteras jenayah siber sehingga ke akar umbi.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Siber, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Profesor Dr Mohamad Fauzan Noordin berkata, penglibatan semua pihak terutamanya institusi perbankan amat penting bagi memastikan jenayah siber ini dapat ditangani.

"Semua pihak mempunyai peranan tersendiri, terutamanya apabila melibatkan soal akaun yang digunakan oleh scammer, perkara ini memerlukan kerjasama daripada pihak bank untuk menjalankan tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, menurutnya masyarakat harus peka dengan setiap tindakan yang disifatkan mencurigakan.

"Harus diingat bahawa urusan melibatkan kerajaan sama ada agensi pihak berkuasa bukan menerusi panggilan telefon.

"Sekiranya ada yang hubungi mendakwa pegawai polis, kastam atau pegawai agensi-agensi lain itu merupakan sesuatu yang tidak masuk akal, jadi dalam perkara ini, masyarakat perlu cakna," ujarnya.