Arsenal rampas semula status peneraju EPL
ARSENAL kembali menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meraih kemenangan 4-2 ke atas Aston Villa di Villa Park sebentar tadi.
Tiga mata berharga yang diraih di gelanggang lawan itu membolehkan Arsenal berjaya memintas City yang hanya mampu bertahan seminggu di puncak liga.
Bagaimanapun, City berpeluang untuk kembali berada di tangga teratas jika menewaskan Nottingham Forest di City Ground tengah malam nanti.
Dalam aksi di Villa Park, Villa terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ollie Watkins seawal minit kelima sebelum pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka menyamakan kedudukan pada minit ke-15.
Phillipe Coutinho kembali meletakkan Villa di hadapan apabila meledak gol menarik pada minit ke-31.
Arsenal sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pertahanan kiri, Oleksandr Zinchenko pada minit ke-61.
Arsenal yang kini mendahului City dengan kelebihan tiga mata, berjaya memperoleh dua gol pada masa kecederaan.
Gol ketiga Arsenal terhasil daripada jaringan sendiri penjaga gol Villa, Emiliano Martinez sebelum Gabriel Martinelli menambah gol keempat The Gunners pada penghujung perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!