Dua penunggang p-hailing diberkas, 3.4kg ganja dirampas
KUALA LUMPUR - Dua penunggang p-hailing diberkas bersama beberapa bungkusan ganja seberat 3.4 kilogram bernilai RM25,950 menerusi serbuan sebuah sebuah rumah banglo di Jalan Maarof, Bangsar di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 6.55 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields.
"Serbuan dijalankan memberkas dua lelaki warga tempatan berumur 29 tahun itu yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah.
"Pemeriksaan dijalankan turut menemui sejumlah dadah jenis ganja seberat 3.4 kilogram di lokasi serbuan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, ujian saringan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis kanabis.
"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Ujar Amihizam, pihaknya menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperolehi.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya menerusi talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!