Cabutan bertuah Mega Bonanza di Pesta Buku NS hari ini
SEREMBAN - Cabutan bertuah Mega Bonanza antara yang bakal mencuri tumpuan pada Pesta Buku Negeri Sembilan 2019 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) yang berlangsung di ruang legar MYDIN Mall, Seremban 2 di sini, hari ini.
Pengarah PPANS, Jamilah Katis berkata, pesta buku yang turut dianjurkan Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan itu bermula jam 10 pagi hingga 10 malam berlangsung selama 6 hari dari 18 April sehingga 23 April ini.
"Acara itu (cabutan bertuah) sebagai menghargai pengunjung membuat pembelian berjumlah RM50 dan ke atas di pesta buku ini. Mereka berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah harian berbentuk hamper.
"Pada jam 4.30 petang ini bertempat di pentas utama MYDIN Mall, Seremban 2 akan diumumkan pemenang bagi hadiah cabutan Bertuah Mega Bonanza. Yang bertuah bakal memenangi pelbagai barang elektrik," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pengunjung berpeluang membawa anak-anak dan ahli keluarga untuk beramah mesra dan bergambar bersama-sama Upin dan Ipin yang turut hadir menceriakan kanak-kanak hari ini.
"Pesta Buku Negeri Sembilan 2019 akan memberi lebih banyak peluang kepada anggota masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan yang terkini dan bermutu. Pengunjung berpeluang memilih pelbagai judul buku dalam pelbagai jenis bidang dan sub bidang ilmu.
"Kepada mereka yang suka membaca dan menimba ilmu pengetahuan, Pesta Buku Negeri Sembilan 2019 merupakan medan yang terbaik serta wajib untuk dikunjungi selain terdapat nya diskaun hebat produk terbitan daripada pelbagai syarikat buku dengan 41 gerai berbanding sebelumnya," katanya.
Jamilah berkata, pengunjung juga berpeluang menjadi ahli Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) secara percuma sepanjang pesta buku berlangsung melalui Borang Pendaftaran di gerai urusetia dan setiap yang pendaftaran berpeluang mendapatkan perkhidmatan di mana-mana perpustakaan di seluruh Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, menurutnya, pada jam 11.30 pagi Selasa ini pula diadakan Majlis Perasmian Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Sehari sempena Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia dan Pra Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan yang akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Baharom.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua aktiviti perlu dihentikan untuk membaca selama 10 minit.
“Program ini adalah usaha permulaan dalam memupuk minat membaca kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk menjiwai program membaca yang dijalankan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!