Kesan dan pengaruh sastera
SEWAKTU berkarya jarang seseorang pengarang itu memikirkan tentang sejauh mana karyanya itu akan memberi kesan dan pengaruh. Malah, terdapat pengarang yang sama sekali tidak pernah memikirkannya.
Dalam kotak neurosisnya, hanya ingin menjelmakan kehadiran ilham dan bahan, kemudian menghasilkannya untuk menyiapkan sebagai sebuah karya. Tidak terlintas, apakah kesannya apabila jatuh ke tangan khalayak.
Telah sampai kepada kita betapa lamanya Chairil Anwar sewaktu menghasilkan puisinya Aku katanya “Aku ini binatang jalang” (1943). Tidur malamnya berbantalkan puisi itu.
Dalam memoirnya pula Ernest Hemingway berbulan-bulan, mengumpulkan data untuk The Old Man and the Sea (1952), bagi melahirkan watak yang tabah menghadapi cabaran.
James Joyce juga mengakui mengalami masa yang panjang untuk menurunkan 18 bahagian novel Ulysses (1922) daripada struktur Odyssey karya Homer, lirik epik sekembalinya daripada peperangan Trojan itu.
Kesemuanya dilakukan dengan hasrat supaya karya masing-masing menjadi istimewa dan luar biasa. Sanggup menghadapi pelbagai kesukaran, dan sangat gigih dan dedikasi sewaktu menyiapkannya bagi mencapai keunggulan, supaya apabila dibaca ia meninggalkan kesan.
Generasi demi generasi karya Chairil Anwar, Ernest Hemingway dan James Joyce itu menjadi klasik.
Puisi Chairil Anwar sentiasa dideklamasikan, novel Ernest Hemingway terus-terusan dikaji, dan teks James Joyce paling banyak dirujuk sebagai karya avant-garde. Tidak sahaja dikagumi dari aspek keberkesanannya, juga mempunyai pengaruh yang sangat kuat.
Banyak lagi karya yang menjadi besar, kanon dan unggul, justeru memiliki aspek keberkesanan dan kepengaruhan yang tinggi.
Kenyataan ini menunjukkan betapa tuntutan sangat diperlukan bagi seseorang pengarang sewaktu hendak berkarya, memikirkan aspek keberkesanan dan kepengaruhan itu.
Semua teori klasik dan moden, meletakkan kepentingan kesan dan pengaruh dalam konsep dan prinsip kritikan.
Biasanya terdapat empat buah prinsip dalam teori klasik dan moden, yang meletakkan analisis kesan dan pengaruh di tempat keempat.
Contohnya, teori sastera sosiologi: pertama meneliti latar pengarang, kedua menganalisis persoalan kemasyarakatan, ketiga mewacanakan aspek nilai dan keempat membicarakan kesan dan pengaruh karya.
Begitulah juga pada teori sejarah, moral, psikologi dan arketaipal. Kenyataan ini menunjukkan bahawa sebuah karya itu akan dinilai aspek kesan dan pengaruhnya.
Justeru di situlah letaknya salah satu ciri pencapaiannya, sama ada bermutu atau kurang bermutu.
PRAGMATIK
Dalam zaman pasca moden kesan dan pengaruh digabungkan dalam sebuah istilah disebut pragmatik.
Pragmatik menilai apakah sesebuah karya itu berhasil memberikan kesan dan pengaruhnya. Apakah kesan tersebut?
Kesan mendadak, kesan sementara atau kesan kekal? Kritikan pragmatik ini juga ingin membuktikan kejayaan atau kegagalan seseorang pengarang dalam mencapai motif ciptaannya.
Seseorang yang menulis sesebuah novel, misalnya, tentulah tersirat sesuatu fikiran, falsafah atau mesej yang hendak disampaikannya.
Apakah pembaca dapat menangkap subjek yang hendak disampaikannya itu? Kalau dapat, adakah berkesan? Jika tidak berjaya, mengapa situasi ini boleh terjadi?
Menurut H.D. Albright (1998) yang pakar dalam konteks ilmu pragmatik ini, sebuah karya yang baik ialah mempunyai kesan yang mendalam, memberikan pemikiran dan falsafah yang berguna, membangkitkan perasaan keseronokan, tidak berasa jemu, malah terasa ada sesuatu yang baharu dan tahan diuji masa dan zaman.
Pengalaman dahulu membaca puisi Bunga Popi karya Tongkat Warrant sangatlah unik, ia berjaya menimbulkan rasa marah dan geram terhadap dadah. Sampai kini kita masih terasa, betapa parahnya akibat dadah kepada kaum belia kita.
Begitu juga hasil membaca drama Degup Jantung karya pengarang yang sama, hingga sekarang terngiang-ngiang betapa kejamnya akibat menghisap rokok yang menyebabkan kenser.
Kesan bacaan kedua-dua teks itu sangat membekas, itulah contoh karya yang baik, justeru memberi kesan berpanjangan.
IKUTAN
Pengaruh berbeza dengan kesan. Seandaikan anak muda berhenti mengambil dadah dan menghisap rokok, itu bererti karya itu memberi pengaruh kepada khalayaknya. Pengaruh juga dapat dilihat daripada konteks ikutan dan anutan.
Noordin Hassan dengan dramanya Bukan Lalang Ditiup Angin (1973) menjadi pelopor drama surealisme, dan betapa kemudian ia diikuti oleh dramatis Dinsman, Johan Jaaffar, Hatta Azad Khan, Mana Sikana dan ramai lagi. Ini bererti drama Noordin Hassan mempunyai pengaruh yang kuat, dan akhirnya membentuk menjadi sebuah aliran drama tanah air.
Kita mengambil contoh Keris Mas ditulis tahun 1950-an, karyanya sangat berpengaruh. Bedul dalam Kejadian di dalam Estet, seorang polis menjadi mangsa kekejaman dan kekuasaan Tuannya, apabila isterinya menjadi gundek Tuannya itu. Tindakan Bedul ialah kedua-duanya patut dibunuh; tetapi masa itulah datangnya serangan komunis. Ini adalah sebuah teks yang kontekstual.
Sementara dalam Kedai Sederet di Kampung Kami pengganas juga telah membakar kedai-kedai dan merosakkan kehidupan.
Pemimpin Kecil dari Kuala Sementan agak unik, justeru menggambarkan kegigihan seorang nasionalis, Hassan terpaksa menghadapi dilema perjuangan pascadarurat: sama ada bersekongkol dengan pemerintah, itu suatu tindakan bacul, atau menentangnya yang menjadikan hutan sebagai medan perjuangan.
TINGGI PENGARUH
Cerpen-cerpen Keris Mas itu tinggi pengaruhnya, kerana mempunyai peranan sastera yang kuat dan sejajar dengan kontekstual zamannya. Struktur naratifnya kukuh dan fungsionalisasi sasteranya teguh, sehingga Keris Mas dikatakan dapat membina konsep modenisme baharu bagi cerpen Melayu semenjak zaman Abdul Rahim Kajai yang melakukannya buat pertama kalinya.
Contoh-contoh di atas, menunjukkan betapa beberapa pengarang kita mempunyai sensitiviti dalam aspek kesan dan pengaruh dalam ciptaannya. Novel Daun karya Malim Ghazali Pk (2008) dan Ceritera Dari Pinggir Taman hasil Baharuddin Kahar (2016) juga mempunyai kedudukan istimewa.
Daun menyembunyikan kisah seorang pengarang yang sedang menulis tentang kepincangan masyarakat, berlapis dengan kisah pendakwah yang mencari kaedah terbaik dalam pendakwahannya. Realisme magis yang digunakan pengarang sangat sesuai dan berkesan, ia mempesonakan dengan teknik yang menyiratkan maknanya.
Ceritera Dari Pinggir Taman naratif kesemua wataknya dengan mengaplikasikan sudut pandangan orang pertama. Khalayak dapat memasuki ke setiap dalam batin dan sublimasi wataknya secara psikologikal. Teknik ini mengesankan, pencitraannya juga gabungan antara gaya moden dengan pascamoden seperti yang terdapat dalam novel Ulysses karya James Joyce.
Kesan dan pengaruh menjadi salah satu pengukur sama ada sesebuah karya itu bermutu atau tidak.
Telah ditunjukkan berapa banyak buah karya menjadi unggul dan tahan diuji masa, kerana ia memiliki kesan dan pengaruh yang positif dan dinamik.
Alangkah baiknya para pengarang kita sewaktu hendak memulakan penulisan teksnya, memikirkan aspek kesan dan pengaruh karyanya itu nanti.
* Mana Sikana adalah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau adalah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!