Kenaikan gaji beri nilai positif ekonomi negara
SHAH ALAM - Majikan diminta melaksanakan kenaikan gaji sekurang-kurangnya satu hingga dua peratus berdasarkan kelulusan, kemahiran dan pengalaman pekerja.
Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika gaji dibayar setimpal berdasarkan kemahiran, produktiviti akan meningkat manakala majikan bakal mengaut keuntungan serta pulangan yang lebih baik.
“Isu sekarang ini adalah apabila sebahagian besar majikan di Malaysia tidak mengukur kredibiliti pekerja dan hanya akur pada syarat gaji minimum.
“Apabila gaji itu dinaikkan atas daripada kadar gaji minimum, majikan seharusnya mengukur kelulusan, kemahiran dan pengalaman yang ada pada pekerja. Jika gaji dibayar berdasarkan kriteria itu, produktiviti akan meningkat pada akhirnya,” katanya kepada Sinar Premium.
Mahfuz percaya, majikan atau syarikat-syarikat besar yang mempunyai teknologi canggih mampu merealisasikan pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus.
“Syarikat-syarikat besar tidak menghadapi masalah untuk menaikkan gaji pekerja. Itu bergantung kepada kemampuan dan keupayaan mereka.
“Biarpun kenaikan gaji tidak mencecah 20 peratus, perlu ada sedikit peningkatan jika pekerja itu memenuhi kriteria yang telah saya sebutkan. Namun, tidak ada undang-undang yang boleh menekan majikan untuk kenaikan gaji.
“Kementerian hanya boleh menguatkuasakan kadar gaji minimum dan beri garis panduan kepada majikan. Sekiranya ekonomi kita beransur baik, apa salahnya gaji pekerja dinaikkan? Itu dapat memberi satu gambaran yang positif pada ekonomi negara,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara bermula 1 Mei 2022 berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023 berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.
Menurut Laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023 yang diterbitkan oleh Randstad, kenaikan kos sara hidup dan peningkatan inflasi di Malaysia memberikan kesan terhadap kemampuan rakyat untuk membiayai barangan keperluan serta gaya hidup.
Oleh itu, pekerja di negara ini dijangka menerima pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus bergantung kepada industri, dengan industri pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan pembuatan bakal menyaksikan perubahan lebih besar dalam struktur gaji dalaman.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, kenaikan gaji pekerja tidak akan menyebabkan pengurangan dalam permintaan pengambilan pekerja baharu.
“Saya tidak rasa akan berlaku pengurangan dalam pengambilan pekerja baharu sekiranya gaji dinaikkan kerana syarikat masih perlu mengambil pekerja sekiranya mereka mahu menambah pelaburan.
“Pengambilan pula bergantung kepada produk. Sekiranya tidak cukup, mereka harus menambah pekerja. Begitu juga dengan projek-projek yang berjalan seperti pembinaan yang mana ia akan terus berkembang dan mereka perlu mengambil pekerja jika ingin menghasilkan produktiviti yang banyak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!