Bela puluhan kucing lumpuh
SHAH ALAM – Perkongsian pemilik akaun TikTok yang membela puluhan kucing lumpuh dan mengalami kecacatan fizikal tular di media sosial.
Bagaimanapun, pemilik akaun TikTok CeritaKucingKatsumi terkilan dengan pertanyaan daripada netizen yang mengaitkannya dengan isu penderaan berikutan keadaan kucing-kucing terbabit mengalami kecacatan dari segi fizikal.
Beliau menjelaskan, kesemua haiwan terbabit merupakan kucing jalanan yang diselamatkan dalam keadaan sangat menyedihkan dan kesemua mereka telah dihantar ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
Sehubungan itu beliau menegaskan bahawa tiada sebarang penderaan berlaku terhadap haiwan terbabit dan meminta supaya netizen berfikir sebelum mengajukan pertanyaan.
“Tiap-tiap malam saya buat siaran langsung mengenai kucing ini, sekiranya betul mendera mereka, saya tidak akan dedahkannya di media sosial.
“Lampin kucing ini juga saya tukar hingga empat kali sehari, sangat tak logik untuk kata saya dera mereka,” katanya.
Selain itu, pemilik akaun yang mempunyai 163,000 pengikut itu turut menyatakan tidak kisah untuk berbelanja besar bagi merawat haiwan malang berkenaan.
Dalam pada itu, dia juga menjalankan servis penjagaan haiwan domestik itu yang terdiri daripada pembersihan dan juga konsultan bagi pengurusannya.
“Jadi alhamdulillah, tak memiliki kedai tapi sambutan orang ramai menggalakkan dan segalanya kami gunakan bagi memelihara kucing berkenaan.
“Kos pemeliharaan haiwan ini sememangnya tinggi berbanding yang tidak mempunyai kecacatan fizikal,” ujarnya.
Dia turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos penjagaan haiwan tersebut.
“Kepada mereka yang sudi ingin menyumbangkan bantuan dari segi wang, ia akan digunakan bagi menampung pembelian lampin dan ubat-ubatan kucing berkenaan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!