Penuntut UniKL dikhuatiri lemas di Tanjung Rhu
LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Seorang penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dikhuatiri lemas semasa mandi bersama rakannya di Pantai Tanjung Rhu, dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa yang dikenali Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20, berasal dari Mukim Tajar, Langgar, Alor Setar baru sahaja ke Langkawi untuk menjalani latihan amali sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, laporan berhubung kejadian tersebut diterima pada jam 7.20 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan melibatkan 57 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Mangsa adalah penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai dan tiba-tiba lemas.
“Rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana alun air kuat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, sebuah bot Penyelamat 5 yang sedang dalam perintah OP AMAN telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu misi SAR.
Ujarnya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan oleh Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi di pantai Tanjung Rhu.
"Maritim Malaysia mengingatkan kepada orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu serta kepada komuniti nelayan pula perlu memastikan bot mereka dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB)," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!