'SDG Kuala Lumpur 2030 perlu dijayakan bersama'

Zahir
Zahir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepentingan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan Kuala Lumpur menjelang 2030 (Kuala Lumpur 2030) perlu dijayakan bersama.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, maksud dan sejarah SDG perlu difahami oleh semua peringkat warga kota termasuk pemimpin masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi merealisasikannya.

"Apa maksud SDG dan sejarahnya perlu kita sama-sama faham dan berusaha merealisasikannya, tarikh dan tempoh dicadangkan adalah pada 2030 (Kuala Lumpur 2030) dan kita ada enam tahun lebih lagi untuk mencapai objektifnya.

"Seringkali kita dengar Kuala Lumpur adalah ibu negara yang mempunyai objektif hasrat dan cita-cita SDG dan saya kira, kita semua mempunyai peranan masing masing untuk menjayakan agenda ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kemampanan dan Kelestarian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan tema Towards Sustainable Kuala Lumpur City Through A Wholistic (Whole Of Society) Approach Where No One Is Left Behind di Hotel Le Quadri, Kampus UCSI Cheras di sini.

Jeffery (kanan) bersama panel jemputan.
Jeffery (kanan) bersama panel jemputan.

Majlis ini diadakan bagi mewujudkan kolaborasi bersepadu antara gabungan persatuan penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mencapai matlamat mewujudkan Bandaraya Kuala Lumpur mampan dan lestari.

Majlis persidangan turut dihadiri Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Pengasas Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng; Bendahari Persatuan Promosi Matlamat Pembangunan Mampan, Antony Tan dan Ketua Projek Inisiatifnya, Jeffery Phang serta wakil 52 persatuan penduduk di Kuala Lumpur, Tan Hooi Charn serta penceramah berpengalaman untuk berkongsi idea dan pandangan, untuk menangani isu serta cabaran berbangkit.

Dalam pada itu, Zahir berkata, perkembangan dan pembangunan pesat di ibu negara sudah pastinya memberikan pelbagai bentuk cabaran terutamanya dalam aspek perancangan dan perencanaan sesebuah kawasan.

Menurutnya, mengikut bancian Kuala Lumpur mempunyai 1.95 juta penduduk, daripada jumlah itu 90.9 peratus adalah warganegara manakala 9.1 peratus adalah bukan warganegara dan itu adalah satu hakikat yang dihadapi ketika ini.

Beliau menambah, dari segi pecahan umur pula terdapat 19 peratus warganegara yang berumur di bawah 14 tahun, 74. 2 peratus yang berumur 15 hingga 64 tahun dan selebihnya adalah melebihi 64 tahun.

Antara peserta yang hadir dalam Persidangan Kemampanan dan Kelestarian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Antara peserta yang hadir dalam Persidangan Kemampanan dan Kelestarian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah perlu menginstitusikan penglibatan orang awam dalam proses perancangan dan perlaksanaan pembangunan di ibu negara.

"Kita mahu begitu serta saya kira usaha mengadakan persidangan kali ini amat penting untuk menentukan masa depan Kuala Lumpur.

"Kita bukan menentang pembangunan tetapi kita mahukan pembangunan seimbang, terancang dan telus serta penekanan terhadap aspek keberadaan penduduk sedia ada dalam keadaan sosial ekonomi, peningkatan kualiti hidup penduduk yang sejahtera dan seimbang termasuk kelestarian alam sekitar turut menjadi keutamaan," katanya.

Tambahnya, dengan wujudnya persidangan kali ini semua yang terlibat telah pun berjaya mengorak langkah utama demi mencapai matlamat untuk mewujudkan kerjasama dua hala antara kerajaan dan rakyat bagi menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur mampan dan bestari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!