11 pemburu haram ditahan, rampas RM4.9 juta
KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu disyaki pemburu haram ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dalam lapan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), sejak 1 Januari hingga 16 Februari lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya berjaya membuat rampasan sebanyak RM4.9 juta dalam serbuan tersebut.
"Daripada lapan serbuan yang dijalankan itu, terdapat satu operasi yang mendapat penghargaan daripada Global Tiger Forum iaitu sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal harimau.
"Kita telah berjaya membuat tangkapan seorang lelaki warga tempatan di Selangor dan merampas sebanyak 69 produk hidupan liar dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM1.2 juta," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Noorsiah berkata, Wildlife Crime Bureau (WCB) dan Perisikan Siasatan Khas (PSK) telah merekodkan sejumlah 23 kes dengan nilai rampasan RM2.68 juta menerusi OBK pada tahun lalu.
"Antara hidupan liar dan haiwan dilindungi yang berjaya diselamatkan adalah burung murai batu, monyet biru, kucing batu, burung hill myna, helang, musang, iguana dan ayam hutan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Noorsiah berkata, satu kes menarik telah direkodkan pada 2022 membabitkan seorang lelaki warga tempatan dan seorang individu warga Vietnam ditahan di Kelantan.
"Modus operandi sindiket adalah dengan melakukan penyeludupan haiwan liar melalui jalan laut dengan menggunakan sebuah kapal nelayan.
"Kita berjaya merampas kapal nelayan tersebut yang mengandungi 59 sangkar besi berisi musang, satu sangkar berisi burung ruak-ruak," katanya.
Noorsiah berkata, pihaknya komited dalam membanteras sindiket perdagangan hidupan liar dan akan meneruskan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan serta badan bukan kerajaan bagi menjaga biodiversiti negara dan kelestarian alam.
"Operasi yang dijalankan juga turut menyasarkan sindiket membabitkan pelombong haram, pembalakan haram, marin biologi dan ekologi yang memusnahkan flora dan fauna," katanya.
Noorsiah berkata, PDRM menyambut baik kerjasama yang dijalankan di bawah operasi bersepadu itu dan sentiasa menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan khazanah negara sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.
"Penglibatan dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis juga amatlah digalakkan agar jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!