Mufti kesal al-Quran dibuang dalam longkang

Seorang lelaki berada di dalam longkang sedang mengutip al-Quran.
Seorang lelaki berada di dalam longkang sedang mengutip al-Quran.
A
A
A

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor kesal dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang beberapa naskah al-Quran ke dalam longkang.

Beliau berkata, perbuatan tersebut merupakan satu penghinaan terhadap kitab suci dan telah menimbulkan kemarahan setiap individu Muslim yang beriman kepada Islam.

Menurutnya, al-Quran adalah sebuah kitab suci yang diwahyukan oleh ALLAH SWT ke atas Rasul dan Nabi-Nya untuk dibaca, difahami serta dijadikan panduan hidup oleh setiap umat Islam.

"Setiap individu Muslim yang beriman kepada agamanya tentu tersentuh, marah dan kesal apabila melihat klip video yang memaparkan beberapa naskah mushaf al-Quran dikeluarkan daripada sebuah longkang.

"Mencampakkan naskah al-Quran ke tempat sedemikian merupakan satu penghinaan terhadap kitab suci tersebut yang tidak dapat diterima walau atas apa alasan sekali pun. Al-Quran bagi umat Islam adalah sebuah kitab suci untuk dibaca, difahami dan dijadikan panduan oleh umat Islam dalam segenap aspek kehidupan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau, mereka yang menghina al-Quran dengan sengaja boleh menjadikan seseorang itu murtad dan diwajibkan bertaubat.

"Jika enggan bertaubat, maka pihak berkuasa boleh melaksanakan hukuman bunuh terhadap mereka menurut hukum Islam, atau sebarang hukuman lain yang difikirkan boleh memberi pengajaran kepada masyarakat awam supaya tidak melakukan tindakan sama.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis agar pesalah boleh didakwa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman sewajarnya," katanya.

Ujar beliau, apa sahaja tindakan yang boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap kitab suci al-Quran akan menyinggung perasaan umat Islam selain menimbulkan kemarahan mereka.

"Penghinaan terhadap al-Quran boleh berlaku dengan pelbagai cara antaranya mengoyakkannya, mencontengkannya, mencampakkannya ke bumi (lebih-lebih lagi ke tempat yang kotor), memijaknya, membakarnya (kecuali untuk tujuan pelupusan dan sebagainya)," katanya.

Wan Salim berkata, pelupusan al-Quran perlu dilaksanakan mengikut proses yang betul iaitu dibakar dengan mesin khusus yang mana, abunya sama ada ditanam atau dicampak ke laut.

"Menurut ulama, al-Quran hanya harus dilupuskan sekiranya ia tidak dapat dimanfaatkan lagi atau jika terdapat banyak kesalahan dalam penulisan atau pencetakannya yang dibimbangi akan mengelirukan pembaca.

"Pelupusan lazimnya dibuat dengan cara yang penuh tertib demi memelihara kesuciannya seperti dibakar dengan menggunakan mesin khusus kemudian abunya ditanam atau dicampak ke laut," katanya.

Wan Salim berkata demikian ketika mengulas mengenai video tular di laman sosial berhubung seorang individu mengutip beberapa naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni di Gombak.

Menerusi video berkenaan, individu yang merakam menunjukkan anak lelakinya berada di dalam longkang untuk mengutip al-Quran yang dibuang.

Semua al-Quran tersebut disusun selepas dikeluarkan daripada longkang berkenaan.

Ada al-Quran sudah terkoyak kulit muka depannya manakala yang lain dalam keadaan baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!