Nurul Amal tawar diri tanding jawatan Ketua Puteri UMNO

Nurul Amal Mohd Fauzi
Nurul Amal Mohd Fauzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan UMNO 18 Mac ini.

Beliau berkata, keputusan untuk bertanding jawatan berkenaan dibuat atas kehendak diri sendiri tanpa didorong oleh mana-mana pihak demi sayangkan parti berkenaan.

"Kita meraikan demokrasi dan saya mengharapkan semua calon pun begitu. Apa yang penting kita mempertahankan perlembagaan parti dan institusi presiden kerana ia ialah paksi sesebuah parti itu.

"Saya rasa dalam pemilihan kali ini kita lihat ramai yang masih sayangkan parti dan semestinya saya sebagai ahli parti dan Naib Ketua Puteri UMNO mengharapkan yang terbaik agar legasi Puteri UMNO menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas menghantar borang pencalonan di Auditorium UMNO di sini hari ini.

Menurutnya, setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing dan terserah kepada perwakilan untuk memilih siapa yang layak untuk menerajui pucuk pimpinan Puteri UMNO.

Beliau merupakan calon terakhir yang menghantar borang pada hari ini bagi jawatan Ketua Puteri UMNO yang menyaksikan pertandingan enam penjuru termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan bermula pada 1 hingga 26 Februari.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!