Emosi belum stabil, masih teringat anak cucu

Borhan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Su Lee yang kehilangan empat keluaga serentak dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada pertengahan Disember lalu.
Borhan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Su Lee yang kehilangan empat keluaga serentak dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada pertengahan Disember lalu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang mengorbankan anak dan menantu serta dua cucu masih sukar dilupakan oleh Beh Su Lee, 60.

Su Lee dari Sabak Bernam berkata, emosinya belum stabil dan masih belajar untuk menerima kenyataan.

Menurutnya, kenangan bersama mendiang sekeluarga sentiasa bermain di fikiran setiap kali melihat barangan peninggalan mereka.

"Ada barang yang masih saya simpan dan ada juga barang yang sudah diberikan kepada orang.

"Buat masa ini, kami masih dalam fasa bertenang dan melunaskan urusan mereka yang belum selesai sedikit demi sedikit," katanya ditemui pada Jelajah Selangor Penyayang (JSP) Daerah Hulu Selangor di Oasis Batang Kali pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 25 waris mangsa yang terkorban dalam tragedi itu menerima sumbangan wang ihsan RM5,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah.

Mengulas lanjut, tragedi 16 Disember lalu turut menyebabkan Su Lee kehilangan menantu, Wong Kin Yap, 34; anak, Gain Choo Yin, 35 dan dua cucu, Wong Hao Yee, 7 serta Wong Zi Hang, setahun.

Seramai 92 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan itu dengan 31 disahkan maut manakala 61 orang terselamat.

Mayat Kin Yap ditemui pada hari kedua sementara Choo Yin, Hao Yee dan Zi Hang ditemui pada hari ketiga.

Katanya, anak sulungnya itu tinggal bersamanya sejak sebelum kahwin sehingga telah berkeluarga dan memiliki dua anak.

Bercerita lanjut Su Lee berkata, menantu yang bekerja sebagai tukang masak pergi ke tapak perkhemahan tersebut untuk membantu menyediakan makanan untuk peserta.

"Kebetulan ketika itu sedang cuti sekolah, jadi dia bawa isteri dan anak-anak sementara saya tidak ikut serta. Tak sangka itu adalah kali terakhir jumpa mereka.

Waris mangsa tragedi Batang Kali menerima bantuan wang ehsan daripada kerajaan negeri pada JSP Hulu Selangor pada Ahad.
Waris mangsa tragedi Batang Kali menerima bantuan wang ehsan daripada kerajaan negeri pada JSP Hulu Selangor pada Ahad.

"Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pasukan pemyelamat yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa serta badan bukan kerajaan (NGO) serta penyumbang yang membantu dalam urusan pengebumian.

"Duit sumbangan yang kerajaan negeri salurkan ini akan saya simpan dan digunakan jika perlu," kongsinya.

Sementara itu bagi Siti Esah Hassan, 53, berkata, kehilangan anaknya, Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, semakin dirasai dengan kedatangan Ramadan, Mac depan.

"Biasanya apabila Ramadan, arwah akan sibuk buat persiapan dan ke bazar Ramadan beli juadah berbuka seperti ayam percik, kari ayam serta pelbagai menu kegemarannya.

"Apabila mak cik rindu, biasanya akan ziarah kubur, baca Yasin dan doa untuknya. Dalam seminggu akan ada sehari ke pusara arwah bersama anak-anak," katanya.

Selain itu katanya, dia tidak lupa memasak makanan kegemaran arwah seperti nasi air, bubur lambuk dan bihun sup untuk disedekahkan kepada jiran tetangga.

"Kehilangan masih terasa, kami belum dapat terima kenyataan. Setiap kali bangun tidur, saya tak boleh nak pandang biliknya, saya akan sedih.

"Biasanya selepas balik kerja dia akan duduk di bilik kemudian baharulah keluar borak bersama ahli keluarga yang lain," katanya.

Sementara itu, Borhan berkata, kerajaan negeri bersedia menyalurkan bantuan yang dirasakan perlu bagi membantu keluarga mangsa yang terjejas.

"Sumbangan RM5,000 yang disalurkan pada hari ini (Ahad) adalah bantuan kewangan pertama disalurkan kerajaan negeri selain sumbangan dari pejabat daerah.

"Kita salurkan bantuan kewangan dahulu dan jika ada sebarang keperluan lain, kerajaan negeri sedia bantu kerana mangsa terlibat bukan hanya dari Selangor tetapi juga ada dari negeri lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!