DAP Negeri Sembilan mahu pertahan 11 kerusi DUN
SEREMBAN - DAP Negeri Sembilan mahu kekal bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, adalah wajar untuk parti itu terus diberi peluang mempertahankan kerusi terbabit yang dimenangi sejak PRU13.
Menurutnya, ia adalah cadangan parti itu sebagai prinsip bagi memulakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi sebahagian daripada keluarga Kerajaan Perpaduan.
"Itu prinsip kita (DAP) sebagai permulaan. Tapi ia bergantung kepada proses rundingan dan kita menyerahkan kebijaksanaan Menteri Besar untuk berunding di peringkat negeri dengan BN.
"Ikut pengalaman saya dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan(PH), biasanya jika perbincangan di peringkat negeri selesai dan tiada masalah, kepimpinan di peringkat pusat juga tiada masalah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen DAP 2023 Negeri Sembilan pada Ahad.
Ditanya sama ada cadangan berkenaan turut diguna di lima negeri lain, Setiausaha Agung DAP itu berkata, ia terserah kepada pengerusi negeri masing-masing.
"Ini cadangan saya untuk DAP Negeri Sembilan. Di negeri lain, ada rundingan dia dan ia belum sampai di peringkat pusat lagi.
"Saya juga tak cakap untuk PKR dan Amanah. Saya bercakap dari konteks DAP Negeri Sembilan, kita tak tamak minta kerusi tambahan. Tapi prinsip kita nak pertahankan kerusi kita," katanya.
Hadir sama, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!