Kontraktor didenda RM30,000 guna penyata palsu mohon tender
ALOR SETAR - Seorang kontraktor didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, dekat sini pada Ahad atas pertuduhan menggunakan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender pembersihan awam di wilayah utara pada Februari 2019.
Hakim, Rohatul Akmar Abdullah turut memerintahkan tertuduh, Ronie Maharudin, 47, membayar denda tersebut serta-merta tanpa ansuran dan jika gagal, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama satu tahun.
Mengikut kertas pertuduhan, Ronie dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober 2018, November 2018 dan Disember 2018 serta mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.
Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd di Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 22 Februari 2019.
Tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 Kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Hanif Hassan memohon mahkamah memberikan hukuman minimun kepada tertuduh kerana dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengakuan bersalah Ronie juga membantu menjimatkan masa dan perbelanjaan mahkamah serta kerajaan selain merupakan kesalahan pertamanya.
Tambah Hanif, ahli perniagaan itu juga masih perlu menanggung tiga anaknya yang masih belajar termasuk dua ibu bapanya berusia 72 dan 68 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rehab Abdul Shukur pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang boleh memberikan pengajaran berguna kepada masyarakat.
Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!