Gempa bumi: PM terkesan keprihatinan bantuan rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat terkesan dengan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye yang menyaksikan sebanyak 42 tan lagi barangan bantuan kemanusiaan dihantar pada Sabtu.
Menurutnya, bantuan ke Damsyik, Syria yang dihantar menerusi dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu merupakan hasil kerjasama kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.
"Saya mendoakan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Syria oleh pasukan sukarelawan Malaysia ini dipermudahkan, Insya-ALLAH,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Misi penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia ke Syria sejak negara itu dan juga Turkiye dilanda gempa bumi 6 Februari lalu berlepas kira-kira 10.15 malam Sabtu dari Pangkalan Udara TUDM Subang, melibatkan 51 kru termasuk wakil kementerian serta NGO.
Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria itu setakat semalam dilapor telah melepasi jumlah 45,000 mangsa.
Sementara itu, menurut Perdana Menteri dalam sesi temu bual bersama Jabatan Radio dan Televisyen Turkiye (TRT) di Ankara ketika lawatannya ke negara itu Rabu lepas, Malaysia telah menghantar sebanyak tiga pasukan untuk misi bantuan kemanusiaan ke negara itu setakat ini..
"Terdapat (ramai)...yang menzahirkan rasa sedih dan simpati di seluruh negara, sangat mengagumkan.
"Walaupun baru mengumpulkan dana, dalam beberapa hari, bagi sebuah negara kecil, negara yang agak membangun untuk memperoleh 10 juta dolar serta-merta, saya fikir ini adalah sesuatu yang luar biasa, yang bermaksud Turkiye mempunyai tempat yang istimewa bagi kami,” katanya dipetik sebagai berkata dalam wawancara itu.
Video temu bual itu turut dikongsi di akaun Facebook rasmi Anwar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!