Pelajar UniKL ditemukan lemas 50 meter dari pantai
LANGKAWI - Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dikhuatiri hilang di Pantai Tanjung Rhu, dekat sini ditemukan lemas pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli berusia 20 tahun ditemukan pada jam 1.24 petang di tempat mangsa dilaporkan hilang pada petang Sabtu.
Menurutnya, mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai melalui operasi menyelamat yang bermula jam 8 pagi melibatkan kekuatan 69 pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Mayat mangsa telah dicamkan oleh ibu, ibu saudara dan sepupu mangsa.
Pengesahan kematian telah dibuat oleh kakitangan perubatan dan mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, di sini pada petang Sabtu.
Mangsa yang dikenali Muhammad Fahmi Hafizi dan berasal Langgar, Alor Setar baru dua minggu datang ke Langkawi untuk menjalani latihan amali.
Mangsa merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di Pantai Tanjung Rhu, Langawi dan sebelum lemas.
Rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana keadaan alun air pantai yang kuat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!