Liridon kempunan aksi Piala Sumbangsih
Harapan peminat skuad Penyu untuk melihat kelibat pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) 24 Februari ini tidak kesampaian.
Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengesahkan tonggak serangan tengah itu tidak dapat diturunkan kerana mematuhi persetujuan yang dicapai dalam kontrak pinjaman antara skuad Penyu dengan JDT.
Bagaimanapun Steinbruckner berkata, keadaan itu tidak akan melemahkan semangat TFC kerana beliau sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk berhadapan cabaran pasukan Harimau Selatan.
"Sudah tentu kami gembira Liridon dapat bermain untuk pasukan sebagai pemain tengah untuk memperbaiki bahagian pertahanan kami tetapi dia tidak boleh bermain dalam Piala Sumbangsih kerana semuanya telah tercatat dalam kontrak antara TFC dan JDT.
"Saya telah menyediakan sesuatu yang berbeza untuk menentang JDT. Harap ia akan berjaya dan kami akan dapat kemenangan pertama dalam Liga Malaysia," katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Steinbruckner berkata, selain Krasniqi, beberapa pemain utama lain termasuk tonggak tengah import, Habib Haroon dan Faiz Nasir juga tidak dapat beraksi kerana faktor kecederaan.
Menurut beliau Habib terpaksa direhatkan antara dua hingga ke tiga minggu kerana kecederaan hamstring manakala Faiz yang beraksi di posisi sayap, belum cergas sepenuhnya memandangkan baru dua hari kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas berehat panjang.
"Habib mengalami kecederaan sejak perlawanan pramusim di Thailand minggu lepas dan Faiz pula baru sahaja menyertai latihan selepas berehat panjang kerana masalah kesihatan dan keluarga.
"Penjaga gol, Suhaimi (Suhaimi Husin) dan Abe (Rahadiazli Rahalim) adalah pilihan pertama kerana mereka berpengalaman dan prestasi," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!