'Pakaian seragam zaman perang hanya tema perarakan'

Mohd Harun (gambar kanan).
Mohd Harun (gambar kanan).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakaian seragam bertemakan zaman peperangan yang dipakai oleh kontinjen ketika Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang berlangsung selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu di Setiu hanyalah sebahagian daripada tema perarakan.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, ia sebahagian daripada tema yang dipilih kontinjen yang menyertai pertandingan yang dianjurkan.

Jelas beliau, dakwaan bahawa himpunan itu menjadi medan untuk mencetuskan provokasi dan mengajak kepada keganasan adalah tidak tepat dan menyimpang jauh daripada matlamat asal.

"Tiada istilah keganasan dan provokasi, bahkan sangat menarik apabila melihat kreativiti daripada wakil kawasan-kawasan mempamerkan idea masing-masing.

"Sama seperti perarakan dan pertandingan 'cosplay' yang dibuat diseluruh pelusuk negara yang menayangkan senjata-senjata adiwira kegemaran mereka. Bahkan ada filem-filem klasik perjuangan yang ditayangkan dengan menggunakan senjata juga diterima dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, program yang menghimpunkan seluruh jentera Pemuda Pas Terengganu itu merupakan acara tahunan dan telah diadakan sejak 1991.

"Sudah menjadi tradisi Pemuda Pas dari lapan kawasan di Terengganu membawa replika bersama tema untuk perarakan masing-masing.

"Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, Wisma Darul Iman bahkan ada yang berkuda pada penganjuran Himpit 2023 kali ini malah ada yang membuat persediaan selama sebulan untuk menyertai himpunan ini," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan itu juga turut dikawal anggota polis bagi memastikan tahap keselamatan sepanjang program dijalankan.

"Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen sedang berlangsung dengan aman," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Harun berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil oleh pihak berluasa untuk menyiasat mengenai perkara itu.

"Kami sedia dipanggil sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa, walaupun ia kelihatan agak tidak logik sebenarnya.

"Apapun, kami tetap berterima kasih kepada semua pihak yang memberi publisiti kepada program tahunan Pemuda Pas Terengganu ini secara langsung ataupun tidak langsung,"ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, pihak yang beranggapan negatif terhadap program-program dianjurkan oleh Pas dipelawa untuk bersama-sama menyertai program yang dianjurkan selepas ini.

"Saya sarankan pihak yang menggunakan isu perarakan Himpit 2023 kali ini untuk lebih 'mesra' dengan program-program anjuran Pas selepas ini supaya dapat gambaran sebenar perjalanan program yang diadakan,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!