Sindiket nikah ekspres warga asing, cuma bayar RM450
MELAKA - Hanya bermodalkan RM450, pasangan warga asing beragama Islam di negeri ini dikatakan sudah layak mendapat perkahwinan yang kononnya diiktiraf dikendalikan oleh seorang 'imam'.
Sindiket pernikahan ekspres itu terbongkar susulan penahanan suami isteri etnik Rohingya dan warga Indonesia dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pulau Senang, Semabok, jam 1 pagi Ahad.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil soal siasat dilakukan, lelaki Rohingya berusia 30-an itu mengaku telah bernikah dengan pasangannya pada tahun 2018 di rumah mereka.
"Dia mendakwa pernikahan itu dilakukan oleh seorang imam dengan dikenakan bayaran RM450. Selain itu mereka turut diberikan sijil nikah.
"Namun pemeriksaan lanjut mendapati, ia adalah sijil nikah palsu dan bukannya dikeluarkan oleh JAIM,"katanya.
Menurutnya, lebih mengejutkan wanita Indonesia berusia 30-an itu juga disyaki masih berstatus isteri orang dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan lelaki Indonesia.
Ujarnya, dia mendakwa telah ditinggalkan begitu sahaja oleh suami terdahulu selama enam bulan, namun tiada sebarang pembubaran perkahwinan berlaku.
“Pada bulan seterusnya dia telah berkahwin dengan lelaki Rohingya itu dan mendapat seorang anak yang dilahirkan pada 2021," katanya.
Sehubungan itu katanya, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan mendatangkan syak.
Sementara itu, operasi bersepadu selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu melibatkan lima agensi termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Dalam operasi berkenaan, seramai 11 warga Nepal berusia di antara tiga dan 40 tahun ditahan selepas didapati tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.
Turut menyertai operasi berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mohd Noor Helmy pula berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk tempatan berhubung masalah sosial yang ditimbulkan etnik terbabit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!