Malaysia, Singapura perlu cepatkan semakan OLOA
SINGAPURA - Malaysia dan Singapura perlu mempercepatkan semakan semula Surat Perjanjian Operasi di antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974 (OLOA 1974).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Malaysia komited dengan objektifnya mengambil semula ruang udara di sebelah selatan Johor yang diletakkan di bawah jagaan Singapura sejak 1974.
Menurutnya, kerajaan bercadang untuk melaksanakannya secara berfasa bermula penghujung tahun ini sehingga tahun 2023.
“Saya yakin kedua-dua negara akan mencapai penyelesaian yang saling menguntungkan kedua-dua belah pihak dan meneruskan kerjasama dua hala dalam sektor penerbangan dan pelancongan.
“Kami bersetuju bahawa prinsip asasnya adalah menyelesaikan isu-isu yang menjadi kebimbangan dengan cara yang mesra dan berusaha ke arah penyelesaian yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan di Lapangan Terbang Seletar, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Anthony Loke menyertai penerbangan sulung syarikat penerbangan Firefly ke Seletar selepas syarikat itu menggantung operasinya ke Singapura pada Disember 2018 berkaitan isu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!