[VIDEO] Pengusaha Bananadibs sanggup tolak tawaran jadi pelakon
KAJANG - Peniaga pisang goreng keju Bananadibs, Abdul Adib Aidil memilih untuk mengembangkan lagi perniagaan diusahakan berbanding menerima tawaran untuk menjadi terkenal sebagai pelakon.
Pemuda berusia 24 tahun yang tular dengan video pendek “biasa, biasa maksudnya?” di laman sosial TikTok itu kini lebih selesa memakai apron dan berkomunikasi dengan pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui, dirinya agak teruja untuk mencuba perkara baharu yang tidak mengganggu perniagaannya dan mungkin menerima tawaran sesuai dalam bidang peragaan atau iklan.
"Saya rasa tiada bakat dalam bidang lakonan mungkin saya tidak ambil (terima) dan sudah ada beberapa tawaran untuk berlakon drama tetapi buat masa ini saya mahu lebih fokus pada bisnes.
"Saya akan meneruskan perniagaan ini dan belum ada perancangan untuk menjadi artis lakonan namun kalau tawaran untuk menjadi model pakaian atau iklan mungkin saya terima," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bandar Kajang di sini pada Ahad.
Sebelum ini tular di laman media sosial TikTok berkenaan video pendek “biasa, biasa maksudnya?”, sehingga membawa tuah kepada Adib untuk lebih dikenali ramai sekali gus meningkatkan pendapatannya.
Adib mendakwa tidak menyangka video tular itu mampu untuk menarik lebih ramai pelanggan termasuk dari luar Selangor untuk membeli pisang goreng keju yang diusahakan di Bandar Kajang.
“Saya ada pembantu seramai 10 orang dan 18 orang pada hari minggu, boleh kata pada hari minggu pelanggan tidak putus-putus datang ke kedai ini," katanya yang memulakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu.
Ketika ditanya mengenai ramuan rahsia pisang goreng kejunya, Adib berkata, tiada namun mungkin penggunaaan tepung untuk menggoreng selain menyediakan sendiri beberapa 'toping' yang dimasak sendiri olehnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!