Mayat komando hanyut dari Melaka hingga ke Banting

Edrin Baintim (tengah) bersama ibu dan ayahnya. - Foto tular media sosial
Edrin Baintim (tengah) bersama ibu dan ayahnya. - Foto tular media sosial
A
A
A

MELAKA TENGAH - Mayat seorang lelaki dipercayai anggota komando Tentera Darat yang dikhuatiri lemas ketika melakukan latihan selaman di perairan Pulau Undan, di sini 12 hari lalu, ditemui di Tanjung Sepat, Banting, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, identiti sebenar mayat terbabit bagaimanapun belum dapat disahkan susulan keadaannya yang tidak sempurna.

“Makluman awal, satu mayat dijumpai di kawasan pantai bakau di Tanjung Sepat, Banting. Laporan lengkap akan dimaklumkan kemudian kerana identiti mangsa belum diketahui.

“(Tetapi) setakat ini sangat positif (dia adalah anggota komando yang hilang) berdasarkan sut selaman yang dipakai. Apapun kita perlu tunggu pengesahan identiti daripada proses bedah siasat kerana keadaan mayat yang tidak lengkap,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Awani pada 7 Februari lalu melaporkan Lans Koperal Edrin Baintim, 25, hilang sewaktu menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa dikatakan hilang ketika latihan Eksesais Pari Harimau iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama tujuh hari melibatkan pelbagai agensi termasuk anggota PULPAK, Pasukan Selam Ranjau, KD Duyong dan juga Pasukan Penyelam Penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya turut mendapatkan bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Indonesia.

Operasi itu kemudian diteruskan pasukan komando Tentera Darat sehingga hari ke-10 pencarian yang berakhir pada Selasa lalu. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!