Sabah intai satu trofi

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmy Yahya (tiga, kanan) melancarkan jersi Sabah FC yang baharu di Stadium Likas.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmy Yahya (tiga, kanan) melancarkan jersi Sabah FC yang baharu di Stadium Likas.
A
A
A

SABAH FC menyasarkan untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marzuki Nasir menyifatkan sasaran itu sebagai realistik berikutan skuad Sang Badak pada musim ini diperkuat dengan beberapa pemain baharu dan import yang diyakini mampu membawa pasukan itu ke tahap lebih tinggi.

“Sabah FC mampu mencabar kejuaraan Liga Super dan Piala FA tahun ini dengan barisan pemain yang lebih baik dan berkualiti termasuk kehadiran beberapa pemain dan import baharu.

“Kita memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi mempersiapkan skuad dalam mengharungi musim kali ini,” katanya dalam majlis Sabah FC Day 2023 dan Pelancaran Jersi Home Sabah FC pada Sabtu.

Antara pemain baharu yang akan membarisi Sabah untuk musim ini ialah penyerang kebangsaan, Darren Lok dan pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria.

Sabah juga mendapatkan khidmat beberapa import baharu termasuk pemain pertahanan dari Brazil, Gabriel Peres dan Telmo Castanheira pemain tengah dari Portugal.

Mengenai rancangan jangka panjang untuk memantapkan lagi pasukan Sabah, Marzuki berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan beberapa kelab luar negara untuk bekerjasama dengan menghantar pemain berlatih di kelab terlibat antaranya kelab Santos di Brazil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!